TERKINI :

Thursday, November 19, 2015

Umno tidak wajar tolak pinangan PAS

Oleh Wan Ji Wan Hussin

Jika benar PAS gabung dengan Umno, ia sejarah berulang kembali yang menarik untuk direnungi. Namun, gabungan PAS dan Umno pada kali ini tidak boleh disamakan dengan sejarah dulu. Ini kerana, Umno dulu tidak sokong cadangan hudud PAS, sedangkan pada kali ini, pimpinan Umno sendiri yang mencadangkan “hudud” dibawa PAS ke parlimen.

Mufti Perlis menyatakan perbezaan PAS dan Umno sudah tidak ketara lagi, malahan kesamaan antara keduanya amat banyak sekali.

Dari sudut pandang ramai pula, kelihatan dalam banyak isu yang melibatkan negara, ternyata PAS lebih ramah dengan Umno/BN, dan agak marah-marah dengan kalangan yang memusuhi Umno/BN.

Di awal terbinanya kerajaan Pakatan Rakyat antara PAS, PKR dan DAP, kelihatan Umno saja selalu menyebarkan propaganda kononnya DAP anti Islam dan anti melayu. Namun kini, propaganda yang sama dilaksanakan sebilangan besar pendokong dan sebilangan pemimpin PAS.

Jika dulu, suara PAS amat selaras dengan rakan PKR dan DAP dalam banyak isu. Hatta dalam isu hudud, Presiden PAS sendiri akui ia bukan keutamaan. Malah, menyatakan hudud dilaksanakan selepas wujud gaji minima. Pendapat presiden PAS itu, dikukuhkan lagi dengan kenyataan ramai tokoh, seperti Mufti Perlis dan Yusoff Al-Qaradawi. Namun, keadaan itu berbeza kini. Walaupun tidak wujud gaji minima lagi, PAS seperti menganggap perlaksanaan hudud adalah keutamaan.

Jika enakmen hudud Kelantan dinyatakan presiden PAS syarat perlaksanaannya selepas wujud gaji minima, sudah pasti tidak boleh dianggap salah, jauh sekali menuduh sebagai musuh Islam, jika tidak menyokong enakmen itu pada saat ini. Ini kerana, sampai hari ini gaji minima masih belum dilaksanakan.

Lebih-lebih lagi, enakmen itu sendiri adalah pindaan 2015 yang kandungannya sudah tidak sama dengan enakmen hudud 1993 lalu. Ia dipinda ulama PAS sendiri. Jika meminda tidak salah, sudah pasti tidak menyokong juga tidak salah. Jika tidak menyokong boleh dituduh rosak akidah, sudah pasti tidak salah menuduh rosak akidah pada ulama PAS yang meminda enakmen tersebut.

Melihat senario kini pula, kelihatan Umno seakan-akan bersungguh-sungguh mahu membantu PAS untuk melaksanakan enakmen tersebut. Ia isyarat, dengan PAS bergabung dengan Umno boleh menjayakan hasrat PAS itu.

Sebilangan pemimpin tertinggi PAS pula, sudah berkali-kali memberi isyarat meminang Umno, tetapi pinangan itu seperti buat-buat tidak faham oleh pemimpin Umno. Sewajarnya Umno memahami keikhlasan PAS itu, dan tidak wajar menolak pinangan tersebut.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...