TERKINI :

Friday, November 27, 2015

Umno Bahagian Gopeng - Ambil tindakan terhadap Muhyiddin, Tun M

Muhyiddin Mahathir

IPOH - Umno Bahagian Gopeng menggesa tindakan disiplin turut diambil terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas pemecatan bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman daripada parti.

Ketuanya, Datuk Hamzah Mohd Kassim berkata, cadangan untuk mengeluarkan Timbalan Presiden dan bekas Presiden Umno itu daripada keahliannya telah diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno empat bulan lalu oleh jawatankuasa bahagian itu.

"Jawatankuasa bahagian dalam mesyuarat lalu sebulat suara bersetuju tindakan harus dikenakan kepada Hamidah atas pelanggaran disiplin yang dilakukannya.

"Tetapi kita rasa perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada Muhyiddin dan Tun Mahathir kerana mereka turut dilihat secara jelas melanggar kaedah dan peraturan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Gopeng di sini, malam tadi.

Hamzah menegaskan, ahli Umno dibenarkan membuat kritikan terhadap parti tetapi perlulah menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan ketidakpuasan hati.

"Ramai yang kritik dan kita terima kritikan serta pandangan mereka yang berbeza daripada kepimpinan parti namun ada batasan serta peraturan yang perlu dituruti.

"Apa hak yang mereka ada mengkritik secara terbuka malah meminta Najib meletak jawatan sedangkan beliau dipilih oleh ahli-ahli Umno dan rakyat untuk memimpin negara kita. Perbuatan seperti ini tidak boleh diterima dan perlu dikenakan tindakan disiplin agar parti tidak dilihat lemah, " katanya lagi.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan penyingkiran Hamidah tidak akan memberi apa-apa kesan negatif di kalangan ahli-ahli bahagian.

"Kami berdiri di sini bersatu hati dan akan terus bekerja keras untuk memenangi semula kerusi Parlimen dan Dun kita dalam PRU-14," katanya.

Mengenai kekosongan jawatan sayap yang dikosongkan oleh Hamidah, Hamzah berkata, ia terpulang kepada MT Umno untuk menentukan siapa yang akan mengambil alih.

"Tetapi kami percaya mengikut tradisi parti, Naib Ketua Wanita Umno akan memangku memegang jawatan itu," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...