TERKINI :

Friday, November 27, 2015

Tunggu kami tawan Putrajaya, Azmin beritahu penjawat awam

 Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berucap pada Kongres Nasional Pemuda PKR Tahunan ke-11 di Petaling Jaya, Selangor hari ini. Beliau meminta penjawat awam yang memohon berpindah ke Selangor bersabar sehingga parti pembangkang menawan Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 27 November, 2015.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mendedahkan terdapat banyak permohonan penjawat awam dari Putrajaya yang mahu berpindah bekerja di negeri terkaya itu.

Tanpa memberitahu berapa jumlah permohonan, timbalan presiden PKR itu berkata penjawat awam tidak perlu berbuat sedemikian, sebaliknya menunggu pembangkang menawan Putrajaya kelak.

"Kita amat bersimpati dengan penjawat awam yang terpaksa bekerja di bawah rejim Putrajaya yang korup. Rejim yang abaikan kepentingan rakyat.

"Hari ini Selangor terima banyak permohonan daripada penjawat awam di Putrajaya untuk pindah berkhidmat di Selangor.

"Seperti saya nyatakan sebelum ini, tidak perlu pindah ke Selangor, biar kami pindah ke Putrajaya," kata Azmin pada ucapan timbalan presiden di Kongres Nasional Pemuda PKR Tahunan ke-11 di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gombak itu berkata, keinginan pertukaran disebabkan kerajaan Selangor dilihat lebih mengiktiraf penjawat awam berbanding Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

"Pengalaman saya di Selangor meyakinkan saya penjawat awam setia kepada nilai dan etika profesional.

"Apabila mereka diberikan ruang, diberi peluang dan pengiktirafan, mereka akan menjalankan kerja dengan cemerlang untuk kemajuan negeri.

"Selangor beri bonus 1 bulan setengah, berbanding Putrajaya yang hanya bagi elaun khas RM500," kata Azmin .

Katanya, kesetiaan penjawat awam kepada pentadbiran Selangor terbukti dengan perlaksanaan keputusan eksekutif kerajaan negeri dan kesungguhan mereka mengutip hasil jauh lebih besar daripada sasaran bagi 2015.

"Kutipan hasil Selangor melonjak kepada RM2.3 bilion sehingga penghujung November 2015, melepasi unjuran awal sebanyak RM1.97 bilion.

"Kita juga berupaya meningkatkan rizab negeri kepada RM3.6 bilion sehingga penghujung September 2015,” kata Azmin yang menghargai sumbangan penjawat awam yang setia kepada prinsip nilai dan profesionalisme dengan pemberian bonus. – 27 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...