TERKINI :

Sunday, November 8, 2015

Tun M sindir Najib kerana kata ‘semuanya baik’

SHAH ALAM – Selepas disoal siasat pihak polis dua hari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah berhubung kenyataan terbuka yang mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak semasa perhimpunan Bersih 4, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan ‘tidak serik’ dengan gangguan tersebut.

Malah kali ini beliau terus menyerang Perdana Menteri itu kerana menafikan bahawa negara berada di ambang krisis kewangan sedangkan nilai ringgit semakin menyusut kepada RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Ini adalah satu penurunan nilai yang besar, lambat laun akan menjejaskan perniagaan import atau pinjaman dalam Amerika dolar. Pasaran saham pula turun dengan kehilangan besar dalam permodalan pasaran. Sekali lagi ini tidak baik untuk ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi ketinggalan di belakang Indonesia dan Filipina. Ini tidak normal. Kita biasanya meninggalkan mereka jauh di belakang,” katanya dalam entri terbaru di blognya chedet.cc, pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Najib pada Rabu yang mengatakan Malaysia tidak akan mengalami krisis kewangan meskipun nilai mata wang negara terus jatuh.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mempersoalkan jaminan Najib itu apabila timbul keperluan untuk menangkap pihak yang mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

“Jika mereka mensabotaj sudah pasti perbankan dan kewangan Malaysia tidak akan baik. Ia akan menjadi disfungsi. Tetapi adakah benar semuanya baik. Ini tidak mungkin! Bank-bank dan sistem kewangan mungkin baik, tetapi terdapat juga petunjuk-petunjuk lain yang menunjukkan bahawa ekonomi tidak baik,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri turut mengulangi kritikannya bahawa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dan penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen antara punca utama hilangnya keyakinan pelbagai pihak terhadap kerajaan.

“Jadi semua tidak boleh dikatakan baik. Siapakah yang bertanggungjawab? Tidak mungkin satu entiti yang tidak wujud!

“Mesti ada orang-orang yang menguruskan ekonomi, menguruskan negara, orang yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang mana kata-kata dan perbuatan mereka boleh menjejas ekonomi,” tegasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...