TERKINI :

Monday, November 23, 2015

Tuanku tegur program hiburan di TV sekarang ini melalaikan

Program hiburan di TV melalaikan

KANGAR - Program berunsurkan hiburan keterlaluan yang lebih banyak disiarkan dalam siaran televisyen di negara ini berbanding program agama dibimbangi melalaikan umat Islam.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, biarpun bilangan program-program dan kelas penghayatan Islam sudah meningkat sama ada di kaca televisyen ataupun di masjid-masjid tetapi didapati program hiburan lebih banyak disiarkan.

“Oleh itu saya berharap jabatan dan agensi agama Islam bersama-sama pemimpin masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dapat terus menggembleng tenaga dan usaha bagi merancang dan menyusun atur program-program dan gerak kerja bagi memperkasakan akidah dan akhlak umat Islam.

“Pelaksanaan kelas tadabbur al-Quran dalam kumpulan kecil bagi membincangkan pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran juga wajar dihidupkan supaya umat Islam dapat muhasabah dan menghubungkan realiti kehidupan dengan mesej kalimah yang suci daripada ALLAH,”titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian semasa merasmikan program Perkampungan Sunnah Sesi Kedua 2015 anjuran Jabatan Mufti Perlis dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) di Masjid Alwi, di sini, malam kelmarin.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Exco Agama Islam Khari Hassan.

Titah baginda umat Islam yang berpegang kepada al-Quran akan berfikir tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH selain kandungannya memberi peringatan terhadap ganjaran pahala dan dosa.

“Malah setiap perenggan al-Quran dapat mensucikan jiwa kita daripada anasir-anasir yang jahat dan kotor bahkan al-Quran sememangnya merupakan jalan yang terang atau manhaj yang perlu diikuti oleh setiap insan dalam mencari kebenaran yang hakiki,”tambah baginda.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...