TERKINI :

Monday, November 9, 2015

'Tolak Bajet 2016 tak jejas gaji penjawat awam'


MP PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menolak tanggapan kononnya jika Bajet 2016 ditolak akan menyebabkan kakitangan kerajaan tidak akan menerima gaji bulanan mereka.

Beliau berkata bajet "anti rakyat" wajar ditolak bagi membolehkan belanjawan baru "pro rakyat dan negara" dibentang semula bagi melancarkan pengurusan kewangan negara supaya tidak membebani hidup rakyat.

"Salah faham kononnya jika Bajet 2016 ditolak akan menyebabkan negara tidak boleh berbelanja dan kakitangan kerajaan tidak mendapat gaji adalah suatu yang salah. Menolak bajet perlu dilihat bahawa suatu bajet yang lebih baik diperlukan.

"Menolak bajet bermakna suatu bajet baru perlu dibentangkan semula," katanya dalam satu kenyataan.

Mengukuhkan hujahnya, Mahfuz mengemukakan bukti bahawa bajet tahun 2000 dibentang dua kali, kali pertama pada 29 Oktober 1999 oleh Menteri Kewangan ketika itu Tun Daim Zainuddin.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata belum pun sempat Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskannya bajet tersebut, Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999.

"Selepas PRU ke-10, Mesyuarat Pertama Parlimen ke-10 berlangsung pada 20-23 Disember 1999 selama 4 hari.

"Selepas upacara angkat sumpah, suatu peruntukan perbelanjaan untuk 2 bulan pertama tahun 2000 dibentang, dibahas dan diluluskan.

"Bajet baru tahun 2000 hanya dibentangkan pada 25 Februari 2000," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata tiada masalah untuk pengurusan negara yang berjalan lancar dengan kakitangan kerajaan terus mendapat gaji bulanan seperti biasa sekiranya Bajet 2016 ditolak.

"Menolak Bajet 2016 sama dengan Bajet 2000 yang tidak diluluskan kerana parlimen dibubar. Yang membezakan keduanya ialah menolak Bajet 2016 bererti menolak kepimpinan Najib dan anggota kabinet yang ada," katanya.

Justeru, Mahfuz berkata jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, pembentukan kabinet baru dan membentang bajet baru untuk rakyat dibuat dengan mengambil kaedah sepertimana yang berlaku kepada bajet tahun 2000.

"Jika Najib enggan meletakkan jawatan beliau hendaklah bentang dan luluskan peruntukan untuk 2 bulan pertama 2016 kemudian bulan Feb 2016 membentang bajet baru 2016.

“Jika Najib terus berdegil dia boleh mohon perkenan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sepertimana yang berlaku pada Parlimen ke 9 dan begitulah seterusnya,” kata Mahfuz.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...