TERKINI :

Thursday, November 5, 2015

Tiada KERJASAMA POLITIK antara PAS-UMNO di KEDAH

Kenyataan Media PAS Kedah

TIADA KERJASAMA POLITIK PAS-UMNO DI KEDAH

1. PAS Kedah kini telah berjaya meloloskan dari kemelut politik dalaman dan sedang berada dalam fasa membuat pecutan baharu untuk muncul sebagai parti alternatif kepada kepada rakyat setelah Umno/BN ternyata gagal dalam menjaga kepentingan rakyat.

2. Dengan itu sebarang usaha untuk ‘menangguk di air keruh’ oleh pihak tertentu ekoran secebis krisis dalaman PAS sehingga menghasilkan parti serpihan PAN (Parti Amanah Negara) kini, boleh dianggap sebagai usaha yang sudah terlambat dan sia-sia.

3. PAS Kedah tegas dan konsisten untuk tidak menjalin sebarang hubungan atau kerjasama politik dengan Umno, khususnya di tengah-tengah kegagalan parti itu menerajui pentadbiran negeri sehingga menyerlahkan pelbagai kepincangan. Tiada sebab untuk PAS 'memberi oksigen kepada Umno yang sedang kelemasan.'

4. PAS juga tidak mudah untuk melupai catatan kezaliman parti pemerintah itu sejak sekian lama. Penganjuran Program Memperingati 30 Tahun Syuhada’ Memali pada 19 dan 20 November 2015 nanti adalah antara bukti komitment PAS menolak pihak yang melakukan kezaliman.

5. Bagi PAS, kewujudan PAN di negeri ini tidak akan mengubah dasar PAS serta tidak akan memadamkan tekad untuk menumbangkan BN dalam PRU14 nanti. Apatah lagi PAN bukan parti yang kuat dan berpengaruh di Kedah. PAS sudah bersedia memikul tanggung jawab mengurustadbir negeri jika diizinkan Allah swt.

6. Berhubung cabaran Pengerusi PAN Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh supaya PAS mempelopori kerjasama dengan Umno di negeri ini; ianya merupakan satu strategi bersifat keanak-anakan untuk merasionalkan kewujudan parti tersebut dalam arena politik tanahair. Taktik menyebarkan kekeliruan itu juga adalah merupakan usaha terdesak PAN untuk menarik ahli PAS menyertai mereka. Saya percaya usaha PAN itu gagal kerana ahli-ahli PAS tidak akan mudah terpengaruh dengan pihak yang telah mengkhianati PAS.

7. PAS mempelawa mana-mana individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu bersama PAS bagi mewujudkan masyarakat madani dan negeri yang sejahtera. Justeru, tiada keperluan untuk kewujudan Majlis Ukhuwah Islamiyah Negara (MUIN) seperti yang dicadangkan oleh Presiden Perkasa Dato’ Ibrahim Ali, kononnya untuk menyatukan PAS dan Umno.

8. PAS sekali-kali tidak akan menghampakan harapan terkini rakyat untuk melihat parti yang sedang memerintah Kedah digantikan dan PAS sedang bergerak ke arah memenuhi aspirasi rakyat tersebut.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah.

23 Muharram 1437.
5 November 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...