TERKINI :

Tuesday, November 10, 2015

Tiada hubungan, Tuan Ibrahim sekali lagi tolak kerjasama PAS-Amanah

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bekerjasama ditolak kerana PAS enggan mempunyai hubungan dengan DAP mahupun Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 November, 2015.
PAS sekali lagi menolak cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya kedua-dua parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Selangor melalui satu perjanjian rasmi, Sinar Harian Online melaporkan hari ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan yang dikemukakan bekas pemimpin parti Islam itu, Khalid Samad ditolak kerana PAS sudah tiada hubungan dengan DAP mahupun Amanah.

"Kita (PAS) tiada hubungan dengan DAP. Parti itu pun tahu kita putus hubungan dan tidak mungkin akan bersama Pakatan Harapan untuk bergabung semula.

"Dan keduanya, kita tidak menerima parti Amanah. Jadi, saya fikir dia (Khalid) tidak berada pada realiti politik yang sebenar.

"Realiti sebenarnya, DAP tidak akan bersama PAS dan PAS tidak akan bersama DAP. Jadi saya fikir cadangan itu mungkin tidak akan berlaku," beliau dipetik berkata portal itu.

Tuan Ibrahim mengulas cadangan Khalid, yang selaku pengarah komunikasi Amanah membuat saranan itu bagi menangani kemelut politik yang melanda pentadbiran negeri Selangor.

Beliau dalam entri blognya berkata, persoalan status dan kedudukan kerajaan negeri Selangor boleh diselesaikan dengan dirasmikan hubungan semua pihak melalui satu perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan dan PAS.

"Pendekatan sebegini tidak menjejas kedudukan sama ada Pakatan Harapan Selangor atau PAS Selangor.

"Melalui perjanjian kerjasama ini, kedudukan kedua-dua entiti diiktiraf dan hubungannya menjadi rasmi.

"Melalui tindakan ini hubungan antara PAS adalah dengan Pakatan Harapan, dan bukan hanya dengan PKR,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Azmin Ali dilapor berkata, tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebab senario politik di kedua-dua negeri itu berbeza. – 10 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-hubungan-tuan-ibrahim-sekali-lagi-tolak-kerjasama-pas-amanah#sthash.tBHogLi4.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...