TERKINI :

Saturday, November 28, 2015

Tak mustahil PAS ganti UMNO

PAS UMNO 1SATU kalimat yang masyhur di dalam dunia siasah yang biasa disebut dan kadang-kadang menjadi kenyataan ialah tidak ada sesuatu yang mustahil dalam politik. Kawan atau musuh tradisi boleh tiba-tiba sahaja bertukar menjadi sebaliknya. Kesetiaan boleh berubah dan nilai-nilai yang dipegang selama ini boleh ditukar ganti atau diperdagangkan.

Tetap dan berubah adalah dua entiti yang melazimi parti-parti politik dan para pemainnya.

Pada pandangan saya, perkembangan mutakhir politik Malaysia (walaupun bibit-bibitnya sudah lama berakar) telah mulai memberi isyarat bahawa iklim politik Malaysia bakal mengalami satu pertukaran musim yang lebih mengejutkan daripada tsunami yang melanda secara tiba-tiba.

Berbeza dengan fenomena tsunami yang baru pertama kali dialami oleh rakyat Malaysia secara umumnya, perubahan senario dan lanskap politik tanah air yang bakal berlaku sudah boleh dijangkakan.

Yang saya maksudkan di sini adalah kisah hubungan cinta benci (love hate relationship) antara PAS dan UMNO, yang telah mengisi ruang minda rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu sejak hampir 50 tahun.

Akan tetapi pada pusingan ini, ia akan berakhir dengan kemenangan pada satu pihak sahaja. Dan sang juara sedikit demi sedikit (bergantung kepada beberapa faktor) akan menjadi perintis kepada penyatuan semula bangsa Melayu/umat Islam dalam jangka masa panjang.

Ini adalah Final Showdown (seumpama pusingan kalah mati) antara persaingan dan perebutan antara dua kuasa gergasi politik Melayu/Muslim untuk memenangi hati majoriti rakyat Malaysia.

Perlu saya tegaskan di sini dengan HURUF BESAR bahawa PAN dan PKR TIDAK termasuk di dalam gelanggang mega ini. Kedua-dua parti politik tersebut tidak memiliki agenda yang jelas dan “doesn’t have what it takes” untuk menjadi harapan umat dan bangsa.

Para pemainnya hanya bersilat di luar gelanggang, mengacah sana sini, mencabar si fulan dan si fulan, berteriak tanpa tujuan sekeliling kampung, sering mengadu kepada orang luar kononnya mereka dibuli dan diperlakukan dengan kasar.

Lebih parah, semua orang tahu kedua-dua parti tersebut sekadar menjadi proksi kepada parti rasis cauvinis DAP yang turut dibontoti oleh MCA dan Gerakan.

Tiada agenda yang jelas, original dan berinspirasi untuk diletakkan harapan pada mereka, biarpun peralatan kosmetik dan kaedah solekan mereka bisa mengalahkan rangkaian produk kecantikan Estee Lauder dan pewangi Yves St Laurent!

Pertembungan terakhir sebenarnya adalah antara PAS dan UMNO, bertarung dan beradu tenaga untuk menjulang trofi kemenangan.

Saya tidak menafikan bahawa realiti yang sedang berlaku kepada PAS dan UMNO sekarang ini seolah-olah akan menafikan telahan saya. PAS dan UMNO masing-masing memiliki kekuatan tersendiri (dan juga kelemahan-kelemahan besar di sana sini). Para pengundi dan bangsa Melayu TIDAK akan mengabaikan atau meninggalkan parti “kesayangan” mereka khususnya UMNO kerana parti ini telah banyak berjasa pada bangsa Melayu, ia juga perjuangkan Islam, sejarahnya lebih hampir dengan sentimen Melayu dan sebagainya.

PAS pula tidak kurang dengan sejarahnya yang berwarna-warni, pernah dikaitkan dengan pelbagai tuduhan yang negatif, ramai pemimpinnya pernah keluar untuk mendirikan parti-parti baru dan “tidak appealing”, tidak mampu memerintah dan seumpamanya.

Akan tetapi itu semua hanyalah persepsi yang sering diulang tayang. Di sana terdapat aksi-aksi “disinformation”, “misinformation”, manipulasi media dan naratif yang dipaksakan oleh pihak ketiga ke atas minda bangsa Melayu dan umat Islam.

Di sebalik semua masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh kedua-dua parti politik tersebut, tidak siapa boleh nafikan bahawa tidak ada suatu apa pun yang bersifat tetap atau konstan dalam dunia politik, apatah lagi dalam pergolakan dan perjuangan hidup secara umumnya.

luttfi-Small 
Pengerusi Gabungan Peguam Ikatan Muslimin Malaysia (iPeguam), Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...