TERKINI :

Monday, November 23, 2015

Tajuddin: Jimat belanja, tanam sayur bukan bunga

PARLIMEN l Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta rakyat supaya menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri dan bukannya bunga dan pokok-pokok perhiasan.

Dengan ini, beliau berkata, rakyat tidak perlu membayar untuk sayur-sayuran yang diimport, yang kini menjadi semakin mahal disebabkan oleh kadar pertukaran dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Jika 'Jom Bertani', kita tanam apa yang kita perlukan, maka tidak ada keperluan lagi untuk membeli. Tidak akan ada isu mengenai kadar pertukaran. Jadi ini adalah langkah yang berkesan," kata Tajuddin di Dewan Rakyat semasa sesi soal-jawab hari ini.

'Jom Bertani’ adalah program sosio-ekonomi luar bandar bertujuan membantu penduduk kampung untuk menanam sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan dan ikan untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi. Ia juga bertujuan untuk menghidupkan semula industri pertanian yang semakin merosot.

Tajuddin (BN-Pasir Salak) berkata demikian bagi menjawab Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin tahu mengenai langkah kerajaan untuk menangani harga sayur-sayuran diimport yang mahal, seperti bawang.

"Satu-satunya perkara, semua orang mesti bekerja keras untuk menanam apa yang mereka perlukan, sama ada sayur-sayuran, cili atau kacang tanah.

"Program 'Jom Bertani’ tidak hanya untuk penduduk luar bandar. Daripada pokok-pokok perhiasan dan bunga, warga kota boleh menanam sayur-sayuran di bahagian hadapan dan belakang rumah-rumah mereka," kata Tajuddin.

"Kita juga boleh tanam sayur-sayuran di balkoni bilik tidur," katanya secara berseloroh.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...