TERKINI :

Monday, November 23, 2015

Selepas Washington DC, Sydney, Paris dia mai perabih di New York pulak...YAPEIM oh YAPEIM...!!


Dalam siri pendedahan terbaru dakwaan salah guna dana, Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) hari ini ingin mengetahui sama ada Yayasan Ekonomi Pembangunan Islam (Yapeim) terlibat dalam lawatan ke New York, Amerika Syarikat.

Menurut Pengarah NOW Akmal Nasir, perkara tersebut dibangkitkan selepas yayasan itu mengesahkan lawatan ke Sydney, Melbourne dan Brisbane, Washington DC, Iowa dan Minnesota dan juga Paris.

Memetik dokumen yang didakwanya menunjukkan Yapeim terlibat dalam lawatan ke New York, Akmal mendakwa Yapeim terlibat dalam Program Kembara Santun ke New York sempena lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat tahun lalu.

Program itu, didakwa menelan belanja kira-kira RM100,000 dikatakan berlangsung pada 17 September 2014 hingga 27 September 2014 melibatkan 100 peserta.

Dalam kenyataannya petang ini, Akmal mendakwa Yapeim membelanjakan RM101,720 untuk lawatan itu manakala Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) pula membelanjakan RM66,960.

Sehubungan itu, beliau menggesa yayasan itu mengesahkan lawatan tersebut diadakan atau sebaliknya serta menamakan individu yang terlibat dalam lawatan itu.

"Apakah keperluan Yapeim untuk bersama dalam lawatan perdana menteri ke New York sedangkan Yapeim adalah agensi yang berteraskan kepada amal jariah dan bukanlah sebuah jabatan kerajaan?

"Berapa banyakkah lawatan ke luar negara yang melibat Yapeim bagi tahun 2013, 2014 dan 2015?" soal Akmal.

Akmal juga mengalu-alukan kesediaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa siasatan akan diadakan terhadap Yapeim dan menuyifatkan ia permulaan yang baik.

"Bagi memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, mereka yang terbabit sewajarnya diwajibkan cuti serta-merta dan tidak berhubung dengan mana-mana pegawai Yapeim sehingga siasatan selesai," katanya.

Akmal juga mencadangkan supaya struktur pengurusan dan pentadbiran YaPEIM dirombak termasuklah individu yang dilantik sebagai Lembaga Pemegang Amanah.

Yapeim menjadi tajuk utama berita sejak dua minggu lalu berikutan pendedahan Akmal ini berhubung dakwaan salah guna dana dan pembayaran elaun yang tinggi kepada pegawai pengurusan atasan.

Malaysiakini telah menghubungi Yapeim untuk mendapatkan maklum balas berhubung pendedahan terkini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...