TERKINI :

Tuesday, November 17, 2015

Selangor pertimbang beri kerusi PBT pada Amanah, kata exco

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi, dan Inovasi Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan negeri pertimbangkan beri kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan kepada Amanah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 November, 2015.
Gesaan Pemuda Amanah Selangor agar parti itu diberikan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyumbang kepada pentadbiran sememangnya dalam pertimbangan kerajaan negeri, kata exco pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi, dan inovasi Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmi yang mengemukakan gesaan itu atas sebab parti baharu itu kini mempunyai 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta 3 orang ahli Parlimen di Selangor.

"Benda ini memang dalam proses rundingan sebab ahli majlis yang ada sekarang akan habis perkhidmatan hujung tahun ini.

"Ini memang dalam perkiraan kerajaan negeri sebab ada 2 wakil Amanah dalam negeri Selangor," katanya merujuk kepada Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata, keputusan akhir akan dibuat kepimpinan negeri dan perkara itu akan diperhalusi dengan baik.

"Saya serahkan kepada kepimpinan kerajaan negeri untuk merundingkannya dan saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita sudah tahu bila Amanah ditubuhkan mereka menganggotai kerajaan di Selangor. Maknanya kita tahu kita kena tengok pembahagian kerusi ahli majlis. Ia bukan perkara luar biasa jadi kita akan bincang dengan elok," katanya sewaktu ditemui selepas pelancaran program sukarelawan PKR, Invoke, di Petaling Jaya malam tadi. – 17 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-pertimbang-beri-kerusi-pbt-pada-amanah-kata-exco#sthash.hx308HrS.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...