TERKINI :

Monday, November 2, 2015

Saya 'sokong' Guan Eng, Pakatan Harapan – Mohd. Salleh Man

Komunikasi Amanah Pulau Pinang


GEORGE TOWN - Dato' Mohd. Salleh Man berkata beliau akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, kerana kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei 2013 lalu adalah atas semangat Pakatan Rakyat.

Ketegaskan Mohd. Salleh itu sekaligus menilak laporan berita akhbar NST pada 31 Oktober lepas yang bertajuk Penang PAS rep 'won't support state govt.'.

“Saya tidak pernah ditemuramah oleh mana-mana wartawan daripada NST...apa yang dilaporkan oleh akhbar tersebut adalah fitnah liar semata-mata.

“Saya akan terus menyokong Y.A.B. Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang Pakatan Harapan dan akan membela beliau dan Kerajaan Negeri sebagai Ahli Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” tegas Mohd. Salleh pada sidang media bersama-sam Guan Eng di sini, pagi tadi.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) turut sertai sidang media tersebut.

Justeru, Mohd. Salleh mendesak NST supaya menarik balik laporan berita tersebut dengan kadar segera.

Guan Eng dalam reaksi spontan selepas itu menjelaskan kedudukan Mohd. Salleh yang masih memilih untuk kekal bersama-sama PAS, di sisi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Beliau adalah rakan secara pentadbiran (di bawah) Pakatan Harapan dan beliau turut mempertahankan Pakatan Harapan dan juga diri saya sendiri.

“Beliau sebahagian daripada Kerajaan dan kehadirannya pada hari ini adalah bukti,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Mohd. Salleh merupakan ADUN Permatang Pasir dan masih dalam lantikan sebagai Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sungguhpun PAS telahpun memutuskan hubungan politik dengan DAP dan Guan Eng sendiri.

KAPSYEN:
(Dari kiri) LIM Hock Seng, Jagdeep Singh Deo, Ketua Menteri, Mohd. Salleh Man, Abdul Malik Abul Kassim dan Wong Hon Wai pada sidang media di sini, pagi tadi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...