TERKINI :

Tuesday, November 17, 2015

'Saya masih dengan Pas dan sokong Pakatan Harapan' - Datuk Salleh Man

Salleh Man Mat Aji

GEORGETOWN - Adun Permatang Pasir, Datuk Salleh Man Mat Aji menafikan desas desus kononnya dia akan meninggalkan Pas dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, beliau akan tetap dengan parti Islam itu malah beliau merupakan ahli seumur hidup Pas.

“Saya menafikan akan meninggalkan Pas dan akan sertai Amanah. Saya adalah Adun Pas dan ahli kerajaan. Saya akan bersama dengan Kerajaan Pulau Pinang,” katanya kepada media ketika ditemui di luar dewan di Sidang Dun, hari ini.

Menjawab soalan berhubung pendirian Pas yang tidak mahu lagi bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Harapan, Salleh Man berkata, beliau tidak masuk campur pendirian parti dalam isu berkenaan.

“Itu pendirian mereka, saya tidak boleh komen. Saya tetap Adun Permatang Pasir. Saya akan terus berkhidmat dengan rakyat sebagai Adun dan juga ahli Pas.

“Berhubung kenyataan Pas Permatang Pauh, saya terima seadanya keputusan itu. Seperti yang saya katakan, saya akan terus berkhidmat di Permatang Pasir dan seluruh masyarakat dengan semangat serta komitmen yang terbaik, InsyaALLAH,” katanya.

Salleh Man berkata, sehingga sekarang hubungannya dengan Pas negeri tidak bermasalah dan masih baik.

“Hubungan saya dengan Pas negeri, Alhamdulillah, (hubungan yang) baik, tiada masalah. Saya masih ahli Pas, itu pasti. Berhubung sokongan saya terhadap Kerajaan Pakatan Harapan, itu biasa lah. Dahulu Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sekarang Kerajaan Pakatan Harapan.

“Macam kerajaan Malaysia, guna pelbagai slogan seperti Rakyat Didahulukan dan sekarang Sehati Sejiwa. Slogan saja lain, pentadbiran kerajaan tetap yang sama. Apa juga nama yang dinamakan, saya tetap di bawah kerajaan negeri yang sama,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak pernah berniat untuk meletak jawatan sebagai ahli Pas dalam Kerajaan Pulau Pinang.

“Isu itu tidak pernah timbul, saya tegaskan sekali lagi, saya akan tetap dengan Pas untuk selama-lamanya,” katanya.

Sebelum ini, Pas Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh Man apabila diputuskan dalam mesyuarat Pas kawasan berkenaan yang dibuat Isnin lalu.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, keputusan itu dibuat berikutan kenyataan Salleh Man dengan jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan bertentangan dengan pendirian Pas pusat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...