TERKINI :

Friday, November 20, 2015

Salleh Man tak akan dipecat berikutan keterbukaannya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan Penang

Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak akan memecat Adun Pasnya, Datuk Salleh Man Mat Aji berikutan keterbukaannya menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah memutuskan hubungan dengan Pas sebaliknya hanya memutuskan hubungan dengan Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam hal ini, tidak timbul isu pilih kasih. Ini kerana, Adun Permatang Pasir (Salleh Man) membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia setia dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan. Walaupun dia masih ahli Pas, tetapi dia sentiasa bersedia membela kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

“Dalam Pakatan Harapan, kita mengamalkan semangat kekeluargaan. Sehubungan dengan itu, kita tidak akan memecat Salleh Man kerana kesetiaannya terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan,” katanya di sidang Dun, hari ini.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zain Ahmad (BN-Penaga) berhubung kedudukan Salleh Man dalam Kerajaan Negeri Pakatan Harapan berikutan Pas pusat memutuskan parti itu adalah pembangkang di negeri ini.

Mohd Zain turut mempersoalkan sikap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang memecat 300 ahli Pas di Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Parlimen Kepala Batas kerana tidak menyokong kepimpinan kerajaan negeri.

Guan Eng berkata, 300 ahli Pas di JKKK itu dihentikan perkhidmatannya kerana tidak bersedia untuk bersama-sama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sedangkan Salleh Man dengan tegas menyatakan kesetiaannya terhadap kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...