TERKINI :

Friday, November 6, 2015

Rafizi calon terbaik debat 1MDB dengan ARUL

GEORGETOWN - Pemilihan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi menggantikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk berdebat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai langkah tepat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Rafizi adalah calon berpengetahuan luas, berwibawa dan berkaliber untuk berdebat dengan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

“Nama Rafizi dicadangkan Tony Pua dan sebagai satu pakatan (Pakatan Harapan), saya mengemukakan cadangannya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika perbincangan semalam (kelmarin) yang turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

“Wan Azizah tidak membantah sebaliknya membawa cadangan itu ke mesyuarat dan hari ini, mereka sudah umumkan bahawa Rafizi akan menggantikan Tony Pua,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, tindakan menggantikan Rafizi itu dibuat di atas persetujuan semua parti dalam pakatan berkenaan.

“Inilah semangat Pakatan Harapan, saling bantu membantu. Apabila kita buat keputusan, ia perlu dipersetujui oleh semua pihak. Rafizi adalah calon yang sesuai kerana mempunyai pengetahuan luas dalam isu 1MDB.

“Jika Rafizi juga tidak dibenarkan untuk berbahas, jangan bimbang, kita ada banyak lagi calon dalam kalangan ahli parlimen yang layak. Pelantikan Rafizi ini juga menunjukkan bahawa bukan DAP sahaja yang mempunyai calon untuk berdebat sebaliknya PKR,” katanya.

Guan Eng juga menafikan sesetengah laporan mengatakan Tony Pua menarik diri dari meneruskan perdebatan itu.

“Laporan sesetengah media pro BN yang mengatakan Tony Pua tarik diri adalah tidak benar sama sekali. Dia bukan tarik diri, tetapi tidak mahu digugurkan dari Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Penggantian ini sebagai tanda kita menghormati keputusan Speaker Dewan Rakyat. Jawatan itu bukan jawatan peribadi sebaliknya diberikan oleh parti.

“DAP tidak akan benarkan dia digugurkan kerana tidak mahu DAP kekurangan seorang ahli PAC. Ini adalah taktik BN untuk tutup kelemahan mereka serta keengganan untuk menjelaskan skandal 1MDB," katanya.

Khamis minggu lalu, Arul dalam kenyataannnya menyatakan kesediaan berdebat dengan Tony Pua secara langsung di televisyen dengan syarat meletak jawatan sebagai anggota PAC.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan Tony Pua tanpa sebarang syarat termasuk menarik balik syarat terdahulu iaitu Tony Pua perlu meletak jawatan dalam PAC.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...