TERKINI :

Tuesday, November 17, 2015

P.Pinang tak pernah larang guna pembesar suara

 Abdul Malik Abul Kassim
GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak pernah mengarahkan larangan penggunaan pembesar suara luar oleh masjid dan surau di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang memutuskan bahawa penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di Pulau Pinang masih dalam urusan pentadbiran.

"Setelah keputusan ini dibuat, pihak Jabatan Mufti telah menghantar surat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang memaklumkan keputusan ini dan saya juga telah dimaklumkan.

"Bagaimanapun belum lagi ada apa-apa perancangan dan pemberitahuan yang dikeluarkan dan kami juga belum putuskan untuk meneruskan fatwa ini ke peringkat seterusnya," katanya ketika menjawab soalan Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Nordin ingin tahu sama ada larangan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau turut terpakai apabila terdapat majlis-majlis rasmi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Abdul Malik yang juga Adun Batu Maung berkata, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menerima tiga aduan berhubung masalah laungan azan di masjid dan surau dari tahun 2012 hingga Mei tahun ini.

Tujuh aduan diterima membabitkan aktiviti-aktiviti selain azan seperti ceramah, bacaan al-Quran dan seumpamanya, katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan terhadap pihak yang membangkitkan isu larangan penggunaan pembesar suara itu dengan pencemaran bunyi.

"Tidak timbul langsung larangan penggunaan pembesar suara dengan pencemaran bunyi. Ada orang bukan Islam yang memuji dan menjadikan azan ini untuk mereka tahu masa.

"Kita mahu membentuk masjid bukan sebagai satu institusi untuk beribadat tetapi pada masa sama 'friendly' kepada orang bukan Islam," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...