TERKINI :

Friday, November 27, 2015

Pondok Pak Ya : 'Abah ingin mati syahid'

'Abah ingin mati syahid'

YAN - ”Jika ada ruang, abah ingin mati syahid seperti kakak-kakak yang sudah menjadi syuhada,” kata Abdul Muin Abdul Manan tentang luahan hati arwah ayahnya, Abdul Manan Yahya, 61, yang pernah menjadi mudir Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah

Al-Halimiah atau lebih dikenali Pondok Pak Ya di Padang Lumat, di sini, sebelum meninggal dunia.

Abdul Muin, 33, berkata, Allahyarham antara individu yang paling terkesan dengan peristiwa tragis pada 22 September 1989, apabila berlaku kebakaran di asrama puteri hingga mengorbankan 27 nyawa kerana menjadi mudir semasa tragedi itu berlaku.

“Abah menjadi mudir sejak 1984 sehingga 2007 dan selepas itu tetap meneruskan tugas sebagai tenaga pengajar di madrasah ini serta dilantik sebagai ahli jawatankuasa lembaga tadbir sekolah.

“Jika diikutkan, abah seorang yang tegas terutamanya dalam soal pelajaran. Arwah kerap kali berpesan kepada anak serta anak didik supaya menghormati ulama dan sekiranya tidak tahu tentang sesuatu perlu belajar,” katanya.

Beliau berkata, arwah bapanya meninggal dunia jam 11.35 malam semalam di kediaman keluarganya setelah beberapa bulan tidak sihat.

“Abah mula dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 28 Ogos lalu dan ditahan beberapa hari.

“Bagaimanapun sejak dua minggu lalu dia sekali lagi ditahan di wad. Disebabkan kesihatannya makin merosot, kami buat keputusan bawanya pulang ke rumah,” katanya.

Abdul Muin berkata, arwah bapanya baru sahaja dilantik menjadi imam di Masjid Al Ubudiah, Padang Lumat pada September lalu dan sempat berkhidmat dalam tempoh dua bulan sahaja.

Dalam pada itu, Allahyarham anak ketujuh dari 11 beradik yang juga anak kepada bekas mudir pondok berkenaan iaitu Tuan Guru Haji Yahya Al Junaid.

Arwah meninggalkan 11 anak dan balu, Che Intan Abu Bakar, 54.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...