TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

'Politik itu memang kena bergolak, panas'

Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR - Politik Islam lahir dan berkembang dari dalam masjid sebelum dibawa ke luar namun umat Islam hari ini 'takut' untuk membicarakan tentangnya ketika berada di dalam masjid.

Oleh itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, misi memerangi fahaman sekularisme di dalam masjid masih belum selesai.

"Dalam masjid, ada lagi orang bercakap bahawa tidak boleh bercakap (tentang) politik dalam masjid. Nak cakap politik, pergi luar masjid.

"Sedangkan politik itu lahir di dalam masjid. Politik Islam tidak beranak di luar masjid. Ia beranak, dibesarkan, berkembang dalam masjid sebelum dibawa ke luar masjid.

"Tapi hari ini... saya letak sebagai cabaran, memahamkan orang masjid terhadap sistem politik Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di program Nadwah Pemerkasaan Du'at (Nekad) Siri 8.0 di sini, malam tadi.

Malah Tuan Ibrahim berkata, tidak pelik apabila 'orang masjid' pening ketika mengundi kerana tidak dapat menentukan pemimpin yang perlu diundi.

"Sebab itu tidak pelik, orang yang ulang alik ke masjid apabila waktu mengundi, tak boleh nak memilih... tak tahu nak pilih pemimpinan mana satu... yang mana boleh dipilih dan mana satu yang haram dipilih," katanya.

Menyentuh soal kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahaw aPas kini berpaksi kepada perjuangan bagi mengubah dasar pemerintahan kerajaan sekarang kepada dasar Islam, Tuan Ibrahim berkata, di situ menunjukkan perbezaan politik Islam dengan politik sekular.

"Ada ketika kita ambil pendekatan pilihan raya, kita kerja keras setiap kali pilihan raya kerana dengan menang kita dapat kuasa untuk mengubah sistem kepada Islam.

"Tetapi di waktu yang sama kita juga penasihat, pendakwah kepada pemimpin yang ada," katanya.

Tuan Ibrahim juga sempat mengingatkan para penyongkongnya bahawa kerja mereka masih banyak.

"Sahabat-sahabat sekalian, kalau rasa pening dengan politik, maka itulah politik kerana politik itu memang begini sifatnya.

"Politik itu memang kena bergolak, panas. Kalau tenang itu belia 4B, bukan politik," katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu berbaik sangka dalam berdakwah kerana setiap manusia mempunyai potensi untuk berubah.

"Kita tak tahu orang macam Umar (Al-Khattab) menjadi khalifah. Siapa sangka, orang yang memusuhi Islam tiba-tiba menjadi orang yang memperjuangan Islam?

"Dan siapa sangka, orang yang hebat satu masa dulu dalam perjuangkan Islam, tiba-tiba keluar dari perjuangan Islam?," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...