TERKINI :

Tuesday, November 3, 2015

Polis dijangka rakam kenyataan Mahathir Jumaat ini


Pihak polis dijangka merakamkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung beberapa laporan polis yang mendakwa bekas perdana menteri itu membuat kenyataan fitnah terhadap pemimpin Umno.

Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Dr Mahathir telah memberikan 6 November sebagai tarikh tentatif.

"Bagaimanapun ini tertakluk juga kepada peguamnya," kata Khalid ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya lokasi kenyataan itu akan dirakamkan, Khalid berkata terpulang kepada Mahathir untuk membuat keputusan.

Khalid sebelum ini berkata Mahathir itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah.

Ini adalah berkaitan dengan kenyataannya semasa perhimpunan BERSIH 4, di mana Mahathir membuat dua penampilan pada 29 Ogos dan 30 Ogos dan menuduh pemimpin Umno menerima rasuah.


Berikutan itu, beberapa pemimpin bahagian membuat laporan polis terhadap Mahathir.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara juga menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak disiasat kerana kehadirannya pada perhimpunan tersebut, yang antara lain, menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir semasa pemerintahan 22 tahunnya menentang perhimpunan jalanan tetapi kini mempertahankan BERSIH 4.

Alasannya, bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa turun ke jalanan untuk menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan kepimpinan negara.

Bekas Perdana Menteri itu juga berulang kali mendesak Najib untuk meletakkan jawatan dan menuduhnya terbabit dengan banyak salah laku, termasuk ‘mencuri’ wang 1MDB.

Najib bagaimanapun berulang kali menafikan sebarang salah laku dan mendakwa Mahathir terbabit dalam komplot untuk menjatuhkannya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...