TERKINI :

Friday, November 27, 2015

Peruntukan RM1 bilion untuk Jakim bukan pembaziran, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sangkal dakwaan Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan peruntukan RM1 bilion disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia adalah pembaziran. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 November, 2015.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyangkal dakwaan Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan peruntukan RM1 bilion disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah satu pembaziran.

Beliau sebaliknya berkata peruntukan tersebut adalah relevan bagi membiayai elaun hampir 15,000 imam, kira-kira 34,000 guru Kafa dan 4,000 guru takmir di seluruh negara.

"Jumlah yang diperuntukkan Jakim untuk membayar elaun ini relevan malah sebenarnya tidak mencukupi kerana peranan yang dimainkan pemimpin Islam terutama golongan imam semakin mencabar selain sara hidup yang agak tinggi pada masa kini.

"Suara-suara yang mendakwa Jakim membazir atau tidak menguruskan kewangan diperuntukkan hampir RM1 bilion tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Multaqa Guru Agama, Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Masjid peringkat negeri Melaka, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim Mohamad Nordin Ibrahim.

Pada Isnin lepas sebuah portal berita melaporkan dakwaan itu yang dimuat naik Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam laman Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata peruntukan berkenaan melibatkan kos operasi Jakim yang merupakan antara perbelanjaan terbesar dalam menguruskan elaun pemimpin agama berkenaan.

Beliau berkata peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan persekutuan selaras dengan Perlembagaan negara bagi membantu pemimpin dan pegawai agama di negara ini yang merupakan barisan depan menjaga dan memelihara Islam dalam masyarakat.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM17.9 juta kepada kerajaan Melaka untuk membiayai elaun 404 imam melibatkan peruntukan RM3.7 juta, 157 guru takmir (RM1.5 juta), 1,300 guru Kafa (RM12.9 juta) dan 3 pegawai penyelaras masjid daerah (RM62,000).

Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Melaka melibatkan 14 NGO dengan jumlah keahlian 12,280 yang menyatakan sokongan padu dan kepercayaan terhadap Jakim sebagai organisasi pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

Memorandum tersebut disampaikan Yang Dipertua Persatuan Pegawai Syarak Negeri Melaka Datuk Damanhuri Husin. – Bernama, 26 November, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peruntukan-rm1-bilion-untuk-jakim-bukan-pembaziran-kata-timbalan-menteri#sthash.ApAfPiOV.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...