TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Pertuduhan terhadap Teresa ditarik balik

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara hari ini menarik balik pertuduhan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung klip video disiarkannya bersempena Tahun Baharu Cina.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah ketika kes disebut di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang di Mahkamah Sesyen di sini. Bagaimanapun, tiada alasan dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung perkara tersebut.

Ketika ditemui, peguam S. N. Nair yang mewakili Teresa berkata, pihaknya hadir di mahkamah hari ini untuk mendapatkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut. "Bagaimanapun, kami terkejut dengan perkembangan kes itu," katanya.

Pada 6 Mei tahun lepas, Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok ONEderful Malaysia CNY 2014' yang disiarkan bersempena Tahun Baharu Cina pada Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman web http://www.youtube.com/ di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini, kira-kira 9 pagi, 1 Februari 2014. Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...