TERKINI :

Saturday, November 28, 2015

Perkara pelik berlaku dalam Umno, kata Muhyiddin


Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata perkara-perkara pelik sedang berlaku dalam Umno sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan balas berhubung pemecatan Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman oleh Majlis Tertinggi parti pada Selasa lalu.

“Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam Umno sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Muhyiddin tidak menamakan nama apabila beliau merujuk kepada "sesetengah pemimpin” parti itu tetapi berkata beliau mempunyai pesanan untuk mereka.

“Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, Umno bukan parti milik mana-mana individu.

“Umno adalah parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua!” katanya.

Muhyiddin berkata beliau kesal dan sedih dengan keputusan pemecatan Hamidah, hanya semata-mata beliau menghadiri majlis menyambut kepulangan bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dari luar negara.

Jatuhkan Najib

Mahathir adalah pengkritik paling lantang Najib dan telah berikrar untuk menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

“Saya sedar sebagai ahli MT, saya terikat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh MT.

“Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan saya mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak perlembagaan parti,” katanya.

Muhyiddin merujuk kepada pemecatan Hamidah, yang tidak dibuat melalui Lembaga Disiplin Umno sedangkan katanya, beliau tentunya telah banyak berjasa kepada Umno dan kerajaan.

Katanya, beliau tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan membela diri.

Beliau berkata ada pihak yang berhujah MT boleh memecat seorang ahli tanpa perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin sepertimana yang berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

“Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

“Selaku Pengerusi JK Pindaan Perlembagaan Umno pada waktu itu, saya telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan,” katanya.

Muhyiddin juga menjelaskan tujuan berkenaan adalah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah dan adalah adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan ke atas mereka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...