TERKINI :

Saturday, November 28, 2015

Penjualan aset kepada China langkah terdesak Najib

1MDB

PETALING JAYA - PKR mendakwa penjualan aset strategik penjana kuasa Edra Global Energy kepada China dengan nilai RM 9.87 bilion sebagai langkah terdesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, penjualan tersebut adalah langkah untuk menebus hutang milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ini merupakan langkah yang sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional.

"Beliau telah melutut dan menagih kepada kuasa asing. Penjualan Edra Global Energy kepada China juga kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan dimana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang “Nine-Dash-Line”," katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita, hari ini.

Mohamed Azmin turut mendakwa, Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini gagal membentuk muafakat Asean berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

"Adalah suatu tragedi, Asean mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing," katanya.

Menyentuh soal, Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), Mohamed Azmin berkata, ia perlu dibahaskan secara terbuka demi untuk melindungi kedaulatan negara.

"Namun, Putrajaya gagal menampilkan kepimpinan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dan bermaruah," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...