TERKINI :

Wednesday, November 11, 2015

Peniaga Pasar Besar Souq Al-Bukhary masih enggan berpindah

Peniaga masih enggan berpindah

ALOR SETAR - Peniaga Pasar Besar Souq Al-Bukhary, di sini didakwa terus membantah perpindahan mereka ke tapak pasar basah sementara di Hutan Kampung.

Pengerusi Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, peniaga terlibat dipercayai sudah pun menerima notis supaya mengosongkan tapak pada penghujung November ini.

“Kira-kira 47 peniaga terlibat diberi notis perpindahan ke tapak pasar basah sementara, namun mereka enggan berikutan ia didakwa jauh daripada pelanggan.

“Bagaimanapun, mereka mendakwa sudi berpindah ke sebuah tapak lain yang tetap dan bersesuaian sepertimana khabar angin didengari mereka,” katanya.

Menurutnya, peniaga terlibat menerima khabar mengatakan ada satu tapak bersesuaian di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma untuk mereka.

“Namun begitu, peniaga ragu-ragu menjalankan perniagaan di tapak didakwa berkenaan disebabkan ia hanyalah cakap-cakap mulut sahaja tanpa surat pengesahan,” katanya.

Oleh demikian katanya, mereka meminta supaya mana-mana pihak bertanggungjawab menyediakan ‘hitam putih’ memaklumkan peniaga terlibat dibenarkan berniaga di tapak belakang sekolah itu.

"Mereka berharap pihak berkenaan dan kerajaan negeri dapat membantu peniaga terlibat menyelesaikan isu tapak diperlukan mereka," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan berkenaan peniaga pasar basah membantah notis arahan perpindahan ke tapak pasar basah sementara di Hutan Kampung bermula 7 Mei hingga 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad memaklumkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...