TERKINI :

Friday, November 20, 2015

Pas Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor

SHAH ALAM - Pas Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, meskipun Pas pusat semalam mengisytiharkan parti Islam itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, anggota Exco Pas akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

"Anggota Exco dan Adun Pas di Selangor tetap bersama Pakatan (Rakyat) dan tetap dalam kerajaan Selangor. MB Selangor juga telah putuskan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Khairuddin diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengisytiharkan parti itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Ini berikutan tindakan kerajaan negeri itu memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan anggota Pas di negeri berkenaan.

Tiga anggota exco Pas Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani). 

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafie menegaskan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri buat masa ini.

Beliau berkata Menteri Besar dan kesemua anggota Exco daripada PKR-Pas-DAP akan terus bekerjasama dalam memikul mandat yang telah diberikan rakyat Selangor.

Mohamed Azmin tidak dapat dihubungi kerana kini berada di luar negeri.

Pada 2 November lepas, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor masih berpegang pada pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa parti itu akan terus bersama Pas dan PKR untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...