TERKINI :

Sunday, November 8, 2015

Pas sedia kerjasama dengan Umno


Hanafiah MatKUALA TERENGGANU – Pas sedia menjalinkan kerjasama bersama Umno ke arah pentadbiran kerajaan yang lebih amanah, cekap dan telus bagi kepentingan rakyat.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bagaimanapun, Pas tidak akan menjalinkan kerjasama politik selagi Umno tidak ubah dasar pentadbiran sebagaimana disyariatkan Islam.

“Pas sememangnya bersedia untuk jalin kerjasama bersama Umno jika ia memberi kebaikan dan mengutamakan kepentingan rakyat. Kita akan beri pandangan sekiranya terdapat tata kerja yang merugikan rakyat.

“Mungkin ada perancangan kerajaan di peringkat keputusannya baik, tetapi di peringkat pelaksanaan tidak menepati apa yang sepatutnya dirangka,” katanya bagi mengulas kenyataan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Konvensyen Umno Terengganu 2015 di Dewan Gamelan, Hotel Primula, kelmarin.

Hanafiah berkata, terdapat beberapa projek kerajaan yang dilihat membazir seperti pembangunan Tasik Kenyir, Monsun Cup, Bandar Baru Kijal dan beberapa lagi pembangunan dilihat tidak menguntungkan rakyat.

“Paling utama, kita mahu beri pandangan dalam urusan royalti minyak Terengganu yang merupakan anugerah ALLAH SWT kepada penduduk di negeri ini, di mana sepatutnya penduduk Terengganu mendapat manfaat besar dari hasil minyak itu,” katanya.

Hanafiah berkata, sepatutnya, rakyat Terengganu beroleh manfaat hasil royalti minyak itu sebaliknya ia ‘disedut’ dan negeri ini masih lagi antara negeri termiskin dalam Malaysia.

“Hasil royalti ini sepatutnya dapat dinikmati rakyat negeri ini, tetapi sehingga kini kita masih lagi tertanya-tanya mengenai perkara ini dan Terengganu masih lagi termasuk dalam kalangan negeri termiskin di negara ini.

“Sebab itulah kita di pihak pembangkang akan mainkan peranan kita dengan sewajarnya agar kerajaan yang memerintah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, kerjasama politik hanya dapat terjalin sekiranya dasar pentadbiran Umno diubah kepada pentadbiran yang ditetapkan syariat Islam seperti melaksanakan hukum hudud serta kembali kepada perlembagaan Pas ketika parti itu memerintah suatu ketika dulu.

“Sekiranya dasar pemerintahan diubah dan syarat yang diletakkan Pas itu diikuti dan dilaksanakan Umno, kita akan pertimbangkan untuk jalin kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sedia menjalin kerjasama bersama Pas dan sedia pertimbangkan untuk menjadi negeri pertama berkolaborasi dengan Pas di peringkat negeri.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...