TERKINI :

Monday, November 16, 2015

PAS sahkan Hadi bersama Najib dalam multaqa Disember ini

PAS mengesahkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan yang dinamakan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 16 hingga 18 Disember depan.

Ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan ia bukti PAS mengamalkan pendekatan politik baru yang matang dan berani dan tidak patut diputar belit sebagai 1 bukti kerjasama antara PAS dan musuh politik mereka.

"Langkah berani menerokai seluruh segmen dakwah dan siasah. PAS tidak eksklusif seperti yang dituduh sesetengah orang," kata Sanusi, bekas setiausaha politik menteri besar Kedah ketika PAS memerintah Kedah pada 2008 hingga 2013.

"Ini politik matang dan berani, bisa berhadapan dengan sesiapa saja, di mana juga. Inilah PAS!" kata Sanusi dalam kenyataan, mengucapkan tahniah kepada Hadi ekoran penyertaannya.

Katanya, mereka akan bersama dalam persidangan bertema "Perpaduan Ummah Merentas Idealogi" itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.

Beliau mengesahkan sebuah poster yang kini disebarkan di laman sosial, yang didakwa mengesahkan lagi kerjasama antara PAS di bawah pimpinan Hadi dengan Umno.

Hadi pada sidang media semalam mengesahkan akan bekerjasama dengan Umno, tetapi berkeras menyatakan PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan berulang kali kerajaan perpaduan bersama BN tidak akan berulang, namun kerjasama PAS dengan gabungan pemerintah itu akan tetap berjalan.

"PAS tidak akan masuk BN tapi akan ada kerjasama. Kerjasama itu biasa. Kita tidak terikat," katanya.

Katanya, definisi kerjasama yang dimaksudkan itu ialah seperti ketika berlaku pencerobohan negara asing ke atas Malaysia, daripada segi menangani jenayah, dadah dan pelarian.

Menurut Sanusi, menyampaikan idea dan pandangan yang tegas dan berani berteraskan Islam dalam acara terbuka seperti ini ialah pendekatan baru dalam menyampaikan risalah kebenaran.

"Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor juga pernah sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Palestin. Ia menjadi sejarah hebat gerakan Islam Malaysia," katanya.

Kali ini, katanya, Hadi akan berucap di hadapan pembesar negara, menyampaikan ucap utama, melontarkan pandangan dan mutiara dakwah Islam atas dasar menjana kebaikan untuk ummah.

"Sasaran program ini ialah cendikiawan Islam, mereka yang mudah memahami bahasa dakwah dan siasah Islam.

"Umat Islam pasti bergembira, penentang PAS sejak puluhan tahun kini bersedia mendengar secara terus daripada presiden PAS," katanya dipercayai merujuk kepada Najib.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan atau dielak, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan senang dengan perkembangan ini.

"Akan ada pihak yang sengaja memutar belit dan membuat tuduhan baru pula. Memang dasar mereka yang sudah menutup mata telinga dan hati.

"Sakit hati terhadap golongan yang mahu tegakkan agama Allah adalah penyakit yang bahaya," katanya yang menang buat pertama kali sebagai AJK PAS Pusat dalam muktamar Jun lalu.

"Ayuh! Jom kita sokong presiden PAS membawa pendekatan baru, matang dan konstruktif serta hebat seperti ini.

"Islam ini, kedudukannya tinggi, maka tentulah jalannya tidak sempit," tegas Sanusi dalam kenyataannya. – 16 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...