TERKINI :

Wednesday, November 18, 2015

PAS perlu jadi jantan, hentikan politik ‘geli-geli’

– Zasyaf Ishak


Memang tidak banyak yang diharapkan dalam strategi pembangkang untuk tidak meluluskan Bajet 2016.

Berdasarkan kiraan mana sekalipun, nampak jelas niat untuk memalukan Perdana Menteri tidak boleh berlaku dengan mudah.

Ini Malaysia.

Politik kita bukan terkenal dengan integriti dan maruah.

Tetapi apa yang lebih mengecewakan adalah pendirian politik parti berteraskan Islam, berkepimpinan ulama, juga mengambil pendirian yang cacamarba dan tidak matang.

Politik yang boleh diterangkan dengan mudah dengan budaya “geli-geli” orang muda; sangat memualkan.

Atas dasar apa, PAS sebagai sebuah parti yang berpengalaman dan lama berada dalam politik Malaysia, mengambil pendirian “berkecuali” dan tidak bersama menentang Bajet 2016?

Ini strategi politik jenis apa?

Di mana kesungguhan dan istiqamah PAS dalam menentang sebuah kerajaan yang menzalimi rakyat?

Kenyataan kononnya wakil PAS yang terlibat dalam undian menolak Bajet 2016 akan dipanggil untuk memberikan penerangan.

Ini satu lagi politik “play safe” dan lakonan politik bertaraf amatur.

Jika benar, PAS mementingkan disiplin, wakil PAS ini wajar dipecat serta merta.

Itupun kalau PAS ada kesungguhan untuk berbuat demikian.

Permainan politik PAS ini bertaraf anak remaja yang tidak pasti akan kemampuan “kelakiannya”.

Disebabkan tidak pasti, yang boleh dilakukan hanya “geli-geli”.

Permainan politik seperti ini sifar maruah dan memalukan.

Tidak ada elemen kesungguhan dan keazaman. Tidak ada jiwa untuk bersama dalam membangkang kezaliman.

Jika benar, percaturan ini dilakukan bagi memberikan laluan kepada “unity government”, ianya masih tidak utuh dan kuat.

Jika benar “multaqa” dan jiwa politik PAS sudah bersama Najib, ianya wajar dipertonton melalui keputusan jelas memberi sokongan kepada Bajet 2016.

Atau ada “pengeras” yang belum dilunaskan bagi memungkinkan PAS menunjukkan kejantanan sebenar dalam politik.

PAS patut membuat pendekatan solid menyokong Najib dan meminta perjanjian yang jelas dalam kerangka “unity government”.

Ini termasuklah membenarkan PAS memimpin Kelantan dengan lebih utuh dan kuat.

Umno tidak perlu bertanding di kawasan yang sekian lama menjadi milik PAS.

Umno dan PAS hanya perlu bermusuh dengan Amanah, PKR dan DAP.

Pendirian politik PAS mutakhir ini tidak didokong dan didorong strategi politik menyeluruh, tetapi bersifat peribadi.

Presiden PAS diberikan mandat penuh untuk menentukan tarikh hijrah sebenar menyokong Umno. Yang berlaku sekarang hanya lakonan dan bersifat “geli-geli”.

Politik “geli-geli” PAS ini buat rakyat umum berasa geli geleman.

Bila tok guru dan ustaz juga sudah pandai “geli-geli”, suasana politik akan jadi lebih rosak.

Maruah dalam perjalanan untuk digadai. 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...