TERKINI :

Sunday, November 22, 2015

PAS P Pinang arah 1,083 anggota JKKK letak jawatan

Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang hari ini mengarahkan kesemua 1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata surat arahan meletakkan jawatan dan menamatkan perkhidmatan sebagai anggota JKKK itu akan diedarkan dalam tempoh terdekat dan semua anggota terlibat diminta untuk mematuhi arahan itu.

"Kami mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran. Semua kita akan berhentikan.

"Kita tak izinkan mereka (kerajaan negeri) mengambil ahli-ahli kita untuk dimasukkan dalam senarai JKKK. Kita tidak mahu ahli JKKK PAS di negeri ini terus dimanipulasikan termasuk bagi memenuhi kuota JKKK di kawasan PKR dan DAP," katanya pada sidang media di Markas PAS Pongsu Seribu, di kepala Batas hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan anggota pihak berkuasa tempatan dari PAS dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri ini.

"Keputusan ini dipersetujui oleh majoriti anggota JKKK PAS di negeri ini selepas mengadakan dua pertemuan dengan mereka. Kebanyakan mereka mahu dan bersedia untuk meletakkan jawatan. Jadi, dengan sidang media ini tidak jadi keberatan untuk mereka meneruskan niat itu," katanya.

Muhammad Fauzi turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memecat 300 anggota JKKK dari PAS di Kepala Batas dan mendakwa maklumat berkenaan adalah tidak tepat.

"Mengapa hanya pecat 300 orang sahaja. Adakah yang dipecat itu hanya dalam kuota PAS sahaja sedangkan ahli-ahli PAS yang berkhidmat dalam JKKK ini berada dalam kuota DAP, PKR dan kuota campuran. Jadi kenapa pecat 300 orang.

"Hasil daripada pemecatan tersebut kita dapati bahawa JKKK daripada kalangan ahli PAS itu ada yang tidak menerima notis pemecatan. Hanya beberapa orang sahaja yang menerima notis pemecatan. Jadi mana 300 orang yang didakwa dipecat.

"Kemudian ada yang mendapat notis pemecatan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertarikh 11 Nov 2015 dan kenyataan (Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon) kata notis pemecatan berkuatkuasa pada 15 Nov 2015. Tapi keputusan mesyuarat kerajaan negeri pula kata berkuatkuasa pada 4 Nov 2015, dari segi tarikh pun kerajaan negeri buat pembohongan," katanya.

Mengulas mengenai status wakil tunggal PAS Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini, Muhammad Fauzi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan berhubung status Salleh Man.

"Saya sudah menghubungi beliau dan meminta untuk menetapkan satu tarikh pertemuan. Kita akan menasihati beliau mengikut etika dan adab di dalam parti,"katanya.

Beliau berkata sebagai seorang anggota PAS Salleh Man seharusnya istiqamah dalam perjuangan PAS dan mengingati lafaz bai'ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota parti itu.

-Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...