TERKINI :

Wednesday, November 18, 2015

PAS Kepala Batas umum tarik diri pegang jawatan JKKK


PAS Kepala Batas mengumumkan menarik diri daripada memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen itu berkuat kuasa serta-merta.

Yang Dipertuanya, Bukhori Ghazali berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa sebab, antaranya PAS bukan lagi dalam kepimpinan kerajaan Pulau Pinang selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan, lapor Bernama.

Beliau mendakwa Lim juga dengan sesuka hati mengambil tindakan tidak sewajarnya terhadap rakan yang selama ini beralah dalam banyak perkara.

"PAS tidak sewajarnya dilihat masih melukut di tepi gantang, mana mungkin JKKK dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PAS bertanding boleh berkhidmat di bawah DAP yang memantau dan menyelaras segala urusan JKKK, dan pada masa sama meminta pimpinan PAS kawasan menolak kepimpinan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kepala Batas malam tadi

Bukhori berkata penarikan diri itu juga dilakukan demi menjaga maruah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja dengan pimpinan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS.

Bagaimanapun, Bukhori berkata PAS sebagai gerakan dakwah dan siasah tidak menolak perlunya hubungan baik dengan sesiapa sahaja terutama rakyat Pulau Pinang yang tidak bersalah dalam hal itu.

"PAS tetap komited memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun tidak melalui saluran pemerintahan seperti yang telah dilakukan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-12," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pendirian PAS Kepala Batas terhadap ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man, Bukhori berkata sehingga kini PAS kawasan itu belum membuat sebarang keputusan .

"Bagaimanapun kami menghormati keputusan yang dibuat PAS Permatang Pauh," katanya.

Ahad lepas, PAS Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Salleh Man berikutan kenyataannya yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...