TERKINI :

Friday, November 20, 2015

PAS keluar arahan supaya ahlinya tidak bercakap selepas kritikan terbuka Husam

Ahli PAS diarah tidak keluar kenyataan selepas kritikan terbuka Husam

 Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada 24 November ini dan menjemput Datuk Husam Musa bagi menjelaskan dakwaan beliau di hadapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 November, 2015.
Ahli PAS diberikan "gag order" (larangan bercakap) yang menghalang mereka daripada mengeluarkan kenyataan terbuka tentang isu kontroversi berkaitan parti, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan hari ini, susulan kenyataan berterusan daripada bekas naib presiden parti Datuk Husam Musa.

Takiyuddin berkata, Jawatankuasa Pusat parti Islam itu akan bermesyuarat pada 24 November ini dan Husam akan dijemput bagi menjelaskan dakwaan beliau di hadapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami tidak mahu isu dalaman dibincangkan secara terbuka," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Antara isu yang dibangkitkan Husam yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu ialah dakwaan yang dibuat ke atas kerajaan Kelantan dan juga dakwaan berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Husam dalam satu ceramah baru-baru ini mendedahkan yang Hadi pernah cuba menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor ketika negeri itu dilanda kemelut berhubung pertukaran menteri besar baharu tahun lepas.

Hadi menafikan wujud sebarang rancangan seperti didakwa Husam.

Husam akhir-akhir ini lantang menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan negeri dalam isu konsesi pembalakan, yang dipercayai menjadi salah satu faktor menyumbang kepada banjir paling buruk di negeri itu hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, Takiyuddin hari ini berkata, "kebebasan itu ada batasannya".

"Anda kena pastikan fakta anda betul dan anda kena mendukung integriti parti."

Beliau menggesa Husam membentangkan semua "bukti" yang beliau ada mengenai plot membentuk kerajaan perpaduan oleh Hadi pada mesyuarat kepimpinan minggu depan.

"Saya sudah hantar surat kepadanya," beliau berkata.

"Kami tidak membenarkan perdebatan atau perbincangan di luar platform parti," katanya. – 19 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ahli-pas-diarah-tidak-keluar-kenyataan-selepas-kritikan-terbuka-husam-kepad#sthash.Cyz4es8R.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...