TERKINI :

Thursday, November 12, 2015

PAS Halau Husam Lepas Tu Akan Tuduh Husam Pengkhianat!

Dewan Ulama saran Husam tinggalkan PAS, sertai Amanah

Susulan kelantangan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa mengkritik Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed menyarankan beliau meninggalkan parti Islam itu, lapor Sinar Harian hari ini.

Mencadangkan Husam lebih sesuai menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfodz melontarkan soalan adakah tindakan Husam itu berkait dengan kegagalannya dalam pemilihan muktamar sebelum ini.

Ini kerana, katanya, kelantangan Husam mengkritik PAS secara langsung itu tidak mendukung kepimpinan presiden dan menunjukkan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu tiada hati dengan parti itu lagi. 

“Kita tidak tahu tujuan dia mengkritik secara terbuka. Adakah disebabkan kalah dalam muktamar baru-baru ini?," katanya dipetik sebagai berkata kepada akhbar itu.
“Kita tidak mahu gunting dalam lipatan menjejaskan parti. Lebih baik tinggalkan parti dan sertai rakan-rakannya dalam Amanah,” katanya merujuk parti serpihan PAS yang ditubuhkan bekas pemimpin progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu.

Sambil mendakwa Husam merupakan salah seorang ahli G18 yang ditubuhkan golongan progresif itu selepas Muktamar Tahunan PAS ke-61 lalu, Sinar Harian melaporkan Mahfodz mempertikaikan agenda Husam.

“Mereka itu bekas pemimpin yang kalah pada pemilihan. Dan hari ini, mereka menubuhkan parti.

“Saya tidak tahu mengapa Husam tidak sertai rakannya dalam Amanah dan tidak tahu strateginya terus berada dalam PAS,” katanya.

Mahfodz dilaporkan mendakwa, Husam sengaja melakukan huru-hara dalam parti itu dengan harapan PAS akan mengambil tindakan terhadapnya.

Katanya, kenyataan terbuka dan gesaan supaya Hadi melepaskan jawatan, seperti yang dibuat Husam, tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, katanya, jika dakwaan Husam terhadap Hadi itu berasas, termasuk mengatakan Hadi pernah mencadangkan kerajaan perpaduan PAS-Umno di Selangor, beliau sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangannya.

“Jika sekarang ini beliau tidak mempunyai jawatan dalam parti, beri sokongan kepada tuan presiden untuk mentadbir parti. Bukan dengan cara meminta supaya (presiden) melepaskan jawatan,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga berkata, Husam sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan, bukan dengan membuat kritikan terbuka terhadap presiden parti. – 11 November, 2015.

Guna saluran betul tegur pimpinan, kata timbalan presiden PAS

PAS hari ini mengingatkan ahli parti, termasuk pimpinan tertingginya, agar mengelak daripada membuat kenyataan terbuka mengenai sesuatu yang boleh mengundang fitnah dan salah faham di kalangan ahli dan masyarakat luar.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka seharusnya menggunakan saluran parti menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati, termasuk dalam membuat teguran terhadap pucuk pimpinan.

"PAS tidak menyekat sebarang kritikan atau komentar kepada pimpinan parti, namun ia mestilah mengikut saluran dan disiplin parti.

"Ahli parti yang melafazkan dirinya akan beristiqamah, bersama perjuangan parti sehingga mati dan menyayangi parti tidak wajar melukakan imej parti.

"Kenyataan berupa tuduhan hanya akan mengundang pelbagai persepsi yang tidak tepat akan membawa kesan dan dosa yang berpanjangan.

"Lebih bahaya bilamana ia akan mengundang pelbagai tulisan yang hanya menyambung benih fitnah tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, parti mempunyai disiplin tersedia yang mesti difahami dan dipatuhi ahli, sambil menambah, masa, tenaga dan kewangan mereka lebih baik digunakan bagi membantu parti.

"Tumpukan gerak kerja melihat ke hadapan daripada melihat ke belakang, atau ibarat pemain bola yang sibuk mencabut kemuncup dan memerhati gelagat penonton, ketika permainan sedang berjalan," katanya.

Baru-baru ini, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa, presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mencadangkan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno di Selangor tahun lalu ketika krisis pertukaran menteri besar yang baharu.

Beliau juga mendakwa, tiba masanya Hadi berundur dan menyerahkan kepimpinan parti kepada mereka yang lebih sesuai dan mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai pengganti.

Berikutan kelantangan itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed menyarankan Husam, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Salor, meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga berkata, Husam sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan, bukan dengan membuat kritikan terbuka terhadap presiden parti.
-TMI


ULASAN GB

Begitulah sikap kepimpinan PAS yang ada kini, halau orang keluar dari PAS, lepas tu tuduh mereka sebagai "pengkhianat".

Itu sikap yang ditunjukkan oleh mereka yang bergelar "ulamak" di dalam PAS.

Kemudian ada pula suara dari pemimpin PAS, yang apabila mendapati dakwaan Husam itu ada kebenarannya, maka dikatanya Husam tidak menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik pemimpin parti.

Sedang Islam mengajar kita bahawa kritikan terhadap pemimpin Islam adalah terbuka dan telus. Telah masyhur di dalam sejarah Islam, terutamanya sejarah para Khulafaur Rasyiddin bahawa Saidina Umar al-Khattab ada berkata ketika perlantikannya sebagai Khalifah menggantikan Abu Bakar as Siddiq radhiallahu anhu, sekira-kira beginilah maksudnya: “Jika aku betul, ikutlah aku. Jika aku salah, perbetulkanlah aku…”

Lantas ada sahabat yang menjawab; “Wahai Umar, jika engkau tidak betul nescaya aku akan betulkan engkau dengan pedang-pedang ku!”

Lalu Umar pula menjawab: “Alhamdulillah kerana ada dikalangan umat Muhammad yang hendak membetulkan kesalahan Umar dengan pedangnya…”

Jauh sangat bezanya akhlak, mentaliti dan tindakan pemimpin PAS dengan Saidina Umar tersebut. Saidina Umar tidak berkata "kamu perlu gunakan saluran yang betul untuk mengkritik aku".

Jauh sekali menghalau orang yang mengkritiknya itu dari jemaah.

Justeru itu rakyat dapat menilai sendiri akhlak, mentaliti dan tindakan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS yang ada kini dan dapat menilai benarkah PAS masih sebuah jemaah Islam sedangkan tindak-tanduk pemimpinnya tidak mencerminkan akhlak Islamiah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...