TERKINI :

Sunday, November 1, 2015

Pas dibawah kepimpinan Hadi Awang nampaknya lebih sanggup "mati dalam angan-angan"

KAH, KAH, KAH...KESIANNYA DENGAN PAS SEKARANG INI!!

oleh Shahbudin Husin,



Tidak dinafikan Pas dibawah kepimpinan Hadi Awang makin melalut dan mengarut sejak kebelakangan ini. Apa perjuangan mereka pun tidak diketahui lagi, tidak lebih macam orang yang memandu kereta tanpa tujuan tetapi sekadar mahu menghabiskan minyak dalam tangki saja.

Setelah sebahagian ahli dan pimpinannya menubuhkan Amanah, sikap beliau semakin sukar difahami. Tidak tahu sama ada beliau mahu menjadikan Pas kekal sebagai parti politik atau sekadar pertubuhan kebajikan dan dakwah saja.

Mari kita baca antara kenyataan terbaru Presiden Pas itu sebagaimana yang disiarkan di media arus perdana hari ini:-

- Pas sedia menasihati BN dalam hal seperti 1MDB, cukai GST, perumahan serta kejatuhan nilai ringgit.

- Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Yang penting kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan Islam.

- Kesediaan itu tertakluk kepada syarat agar UMNO mengubah pemerintahannya selaras dengan Islam.

- Mengumumkan satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Najib Razak akan berlangsung tidak lama lagi.

Kah, kah, kah...mari kita ketawa dulu dengan hasrat Haji Hadi untuk membawa Pas menasihati BN berkaitan 1MDB, GST, perumahan dan kejatuhan nilai ringgit.

Apa pengalaman Pas dan siapa pakar-pakar ekonomi dalam parti itu? Apa rekod mereka sebelum ini dalam hal-hal perniagaan dan ekonomi yang rumit itu?

Bukankah golongan profesional, pakar ekonomi dan aktivis daripada parti itu majoritinya sudah meninggalkan Pas dan menyertai Amanah sekarang ini?

Adakah Hadi Awang sendiri, Tuan Ibrahim, tiga Naib Presidennya, Nasharuddin Tantawi,  Nik Abduh  dan lain-lainnya yang mahu disandarkan harapan menasihati BN berkenaan 1MDB dan kejatuhan ringgit?

Pernahkah kita mendengar Haji Hadi dan lain-lain pimpinan utama Pas memberi pandangan bernas berkaitan perkara yang disebutkan itu sebelum ini, sama ada dalam Parlimen, melalui kenyataan media dan sebagainya?

Hujah Pas dalam memberi nasihat itu sehingga mengatakan tidak ingin merebut kuasa daripada BN dengan syarat UMNO mengubah pemerintahahnya selaras dengan Islam, tidak lebih umpama "burung pungguk rindukan bulan"  semata-mata.

Sebagaimana burung pungguk tidak mungkin dapat menyentuh bulan sampai bila-bila, maka mengharapkan UMNO mengubah dasarnya sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Pas juga mustahil kesampaian sehingga hari kiamat sekali pun.

UMNO akan terus kekal dengan dasar kebangsaannya seperti yang ada sekarang. Jika Pas ingin berbaik-baik dan teringin sangat bersamanya, UMNO mustahil mahu mengubah identitinya, tetapi Paslah yang perlu menyesuaikan dirinya.

Hakikatnya, UMNO lebih besar dan kuat daripada Pas...gilalah jika orang besar dan kuat tunduk kepada orang kecil.

Hadi Awang juga berterus-terang bahawa satu pertemuan dengan Najib yang pernah memiliki wang derma sebanyak RM2,600 juta akan diadakan tidak lama lagi.

Sekali lagi....kah, kah, kah...

Yang nyata, dengan kenyataan Hadi Awang ini, ahli dan penyokong Pas di kampung-kampung, bahkan selama ini sangggup menderma wang untuk perjuangan menegakkan Islam, bolehlah beransur-ansur meninggalkan parti itu kerana Pas sebenarnya tidak ingin pun kepada kuasa sedangkan suatu ketika dahulu ghairah mengatakan dengan kuasa dalam tanganlah, maka Islam dapat ditegakkan.

Pas hari ini sebaliknya tidak lagi inginkan kuasa, mereka hanya mahu jadi penasihat kepada BN semata-mata. Maka, ahli dan penyokong Pas, jika ingin berjuang serta terlibat dalam politik, lebih baik sertai parti lain mulai sekarang. Jika tidak, duduk saja di surau serta masjid, lupakanlah untuk mengharapkan pahala dan syurga melalui Pas.

Pas dibawah kepimpinan Hadi Awang nampaknya lebih sanggup "mati dalam angan-angan" kerana yang dikejar mereka bukanlah Islam melalui perjuangan sendiri, tetapi lebih mengharapkan UMNO menukar dasar pejuangannya, walaupun menyedari ia umpama mengharapkan burung pungguk dapat menyentuh bulan yang nun jauh di angkasa. (SH 01/11/2015).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...