TERKINI :

Wednesday, November 25, 2015

Pas bakal hilang jawatan JKKK di Selangor?


PasSHAH ALAM - Pas dijangka bakal kehilangan beberapa jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor apabila Parti Amanah Negara (Amanah) mahu jawatan itu turut dibahagikan kepada mereka pada lantikan akan datang.

Ini susulan kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim bahawa pihaknya sedang mengadakan beberapa perjumpaan bersama pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin daripada DAP bagi membincangkan kuota yang akan diberikan kepada parti itu dalam pembahagian jawatan JKKK dan jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Katanya, lantikan itu kelak adalah pengiktirafan kepada Amanah sebagai parti politik yang bersama-sama membentuk Pakatan Harapan dengan PKR dan DAP.

"Amanah mempunyai tiga Anggota Parlimen dan dua Adun di Selangor.

"Bagaimanapun berapa jumlah kerusi ahli majlis dan JKKK yang akan diberikan kepada Amanah hanya ditentukan selepas perbincangan mengenainya selesai dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kesemua Ahli Majlis Kerajaan Tempatan akan tamat kontrak perkhidmatan mereka pada penghujung tahun ini.

Ditanya sama ada jumlah yang diperuntukkan kepada Amanah akan diambil daripada kuota Pas, Izham berkata perkara itu belum ditentukan.

Sekiranya berlaku, ia merupakan satu lagi tamparan buat Pas susulan pada minggu lalu, semua anggota JKKK daripada kalangan anggota Pas di Pulau Pinang telah dipecat oleh kerajaan negeri kerana tidak menyokong Pakatan Harapan.

Tindakan pemecatan itu menyebabkan Pas mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Sementara itu mengulas mengenai jumlah anggota Amanah di negeri ini, Izham berkata, setakat hari ini sebanyak 4,000 orang telah berdaftar sebagai anggota parti itu dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada bukan Islam. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...