TERKINI :

Wednesday, November 4, 2015

PAS akan kembali ke tahun 1980-an

Saya melihat Selangor sebagai model mini bagi Malaysia. Tiada satu pun parti politik yang mampu menjadi kerajaan di Selangor secara tunggal. Justeru parti politik amat perlu bekerjasama untuk menjadi kerajaan di negeri ini.

Sebelum 2008, BN menguasai Selangor. Selepas 2008, kita ada Barisan Alternatif dan DAP, yang kemudiannya bergabung menjadi Pakatan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke-13, Pakatan mengekalkan mandatnya di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor kelihatan tergugat apabila menteri besar waktu itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadapi tentangan dan ancaman daripada PKR dan DAP.
Hanya PAS sahaja dilihat mempertahankan TSKI, mungkin kerana ghanimah yang diperolehi oleh PAS agak lumayan pada waktu itu. Kemuncaknya, enam orang exco – tiga dari PKR dan tiga dari DAP – dipecat daripada pentadbiran negeri Selangor.

Bakinya hanya empat orang exco PAS sahaja yang tinggal bersama seorang menteri besar bebas. Masalah ini diselesaikan apabil Mohamed Azmin Ali dipilih menjadi menteri besar yang baru.

Selangor kembali dilanda kontroversi pada tahun ini. Kemuncaknya, Muktamar Agung PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tapi masih bersama dengan PKR. Dari itu terbitlah Gerakan Harapan Baru (GHB) dan seterusnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sekali lagi, kerusi menteri besar menjadi tumpuan. Azmin digesa memilih Pakatan Harapan (gandingan PKR, DAP dan AMANAH) dan menyingkirkan PAS dalam pentadbirannya.

Azmin bagaimanapun memutuskan untuk menyatukan semua pihak berkepentingan termasuk PAS dan PSM dalam menghadapi musuh yang satu iaitu Umno/BN.

Dalam situasi ini, saya melihat Azmin berada dalam keadaan yang cukup dilema dalam meraikan semua pihak termasuk istana, Pakatan Harapan, PAS dan rakyat Selangor. Diluah mati emak, ditelan mati bapak.

Pasti beliau sendiri pening dalam memikirkan kelangsungannya sebagai MB, kelangsungan parti, harapan dan aspirasi rakyat serta kehendak istana sendiri.

Melihat kepada situasi itu, aku memahami kekurangan yang ada pada PKR sehinggakan perlu bergantung atau menumpang kekuatan PAS dalam beberapa aspek.

PKR masih lagi parti yang muda yang mana punya penyokong yang ramai tapi masih lagi kekurangan pendukung terutamanya di peringkat akar umbi.

Jika PAS dikesampingkan akan wujud satu lompong yang besar ketika PKR perlu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jika PKR mengesampingkan parti baru iaitu AMANAH, parti itu akan kehilangan pengundi Cina – sehingga 15 peratus – mengikut tinjauan Merdeka Center.

Terdapat juga simulasi yang menunjukkan bahawa BN akan berpeluang merampas kerusi seperti DUN Kota Damansara, Semenyih dan Sungai Aceh sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.

Adakah PAS boleh menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru? Kita boleh melihat contoh di DUN Selat Kelang.

Jumlah sokongan kepada PAS sememangnya meningkat pada 2013. Pada tahun 2008, PAS mendapat sokongan yang agak menyeluruh di mana kemenangan yang diperolehi hampir seimbang di setiap unit daerah mengundi Melayu dan unit daerah mengundi campuran (majoriti cina).

Pada tahun 2013 pula, DUN Selat Klang mencatatkan penambahan undi popular dan majoriti.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa PAS hanya menang di satu daripada kesemua sembilan Unit Daerah Mengundi (UDM) majorit Melayu. PAS menang di kesemua enam UDM majoriti Cina.

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat? Jika pecahan UDM kekal sama dan sentimen pengundi Cina merosot, adakah PAS dapat mengekalkan kuasa di DUN Selat Klang? Bagaimana dengan DUN yang lain?

Dengan trend pengundiannya yang hampir sama, PAS akan menghadapi masalah apabila peratus undi Cina melebihi 20 peratus dalam sesuatu DUN.

Rentetan itu, PAS akan dicabar di sekurang-kurangnya sembilan kerusi yang mereka menangi sebelum ini. Jika ini berlaku, adakah Selangor dapat dipertahankan? PKR sendiri belum tentu dapat mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada 2013.

Saya tidak bimbang dengan pertandingan tiga penjuru, tetapi saya bimbang jika jumlah kerusi yang dimenangi PAS menyusut. Perkara ini akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk mengekalkan kuasa di Selangor.

Saya berpendapat, keputusan yang terbaik adalah memastikan Selangor diperintah oleh PKR, DAP dan AMANAH menjelang pilihan raya umum akan datang.

Rakyat Selangor dan rakyat Malaysia mendambakan sebuah kerajaan yang utuh dan stabil untuk menggantikan Umno/BN.

Ulama fekah menetapkan kaedah fikh Islam sendiri menetapkan kaedah yang membolehkan pelaksanaan mudarat yang ringan demi menghilangkan mudarat yang lebih besar.

Darurat yang lebih besar adalah membiarkan Umno/BN kekal memerintah dan menzalimi rakyat.

Darurat yang kecil cakap-cakap yang timbul apabila AMANAH berpisah dengan PAS.

Dalam masa dua tahun ini, Pakatan Harapan perlu memperkemas jentera di peringkat akar umbi dan membuktikan tiada masalah timbul.

Lagi pula, Menteri Beasr Mohamed Azmin Ali sudah berkali-kali mengajak PAS untuk bersama, tapi ditolak mentah-mentah oleh pimpinan PAS Pusat.

Justeru itu, takkanlah PKR mahu diumpamakan seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong? Namun apakah implikasinya jika PKR bekerjasama dengan PAS dan pada masa yang sama terus dalam Pakatan Harapan?

Saya meramalkan empat perkara akan berlaku: empat kemungkinan berikut:

1. Pertandingan tiga penjuru tidak akan dapat dielakkan lagi melainkan ada rundingan saat akhir.

2. Jika Selangor berjaya dipertahankan, PKR akan memperolehi kemenangan paling sedikit berbanding parti komponen lain dalam Pakatan Harapan kerana rakyat akan melihat PKR adalah parti yang flip-flop.

3. Parti yang akan menang ialah gandingan AMANAH-DAP-PKR. AMANAH mampu menyengat kerana memiliki gerak kerja yang tersusun dan juga pemikir PAS yang sudah berhijrah.

4. PAS akan kembali ke tahap seperti tahun 1980-an dan akan lebih malang jika gagal mempertahankan Kelantan.

MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR 
bekas ahli PAS dan kini ahli PKR.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...