TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Obama : TPPA - Asyik bincang, sampai bila pun tak habis

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyifatkan perbincangan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan 12 buah negara itu akhirnya dimuktamadkan bagi membolehkan semua negara berbincang secara dalaman dari pelbagai aspek sebelum memutuskan penyertaan masing-masing.

Menurutnya, perbincangan yang berpanjangan pun tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.

“Setiap masa, semua orang komen terhadap setiap aspek, jadi, kita tidak akan berjaya (capai kata sepakat).

“Di AS pun, kami tidak mampu memuaskan hati semua komuniti. Apatah lagi ini melibatkan 12 buah negara...dan semua wakil negara sentuh setiap aspek, jadi, kita memang tak akan selesai sebab manusia memang akan sentiasa meminta lebih.

“Jadi, apa kami buat ialah, tutup perbincangan,” katanya ketika menjawab soalan penonton pada pertemuan dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) sempena kunjungannya ke Malaysia bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan wakil Malaysia yang terlibat dalam perbincangan perjanjian TPP yang dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu.

Menurut Obama, meskipun beliau menganggap perjanjian TPP itu baik dan boleh dipersetujui, namun beliau juga masih belum mendapat kelulusan Kongres AS.

“Saya percaya itu tapi tetap tiada jaminan. Setiap ahli Kongres akan teliti setiap ayat dalam perjanjian itu. Sesetengahnya akan menganggap ia perjanjian yang baik dan sesetengahnya pula akan fikir ia buruk.

“Sekarang ini, setiap negara perlu menyelesaikan segala persoalan berkaitan undang-undang, Parlimen atau apa sahaja bentuk kerajaan anda untuk memutuskan untuk menerima atau menolak perjanjian ini,” katanya.

Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan berhubung perbincangan yang disifatkan berjalan penuh dengan kerahsiaan itu, beliau menyarankan agar alumni tersebut merujuk dan membaca setiap bab yang ada dalam teks perjanjian yang telah dimuatnaik di laman web.

Bagi Malaysia, sebelum TPP diputuskan, teks rasmi TPP akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.

Perjanjian TPP juga dibantah oleh ramai pihak di negara ini termasuk NGO kerana disifatkan berisiko dan dijangka membebankan rakyat.

11 pihak lain yang terlibat ialah AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...