TERKINI :

Friday, November 20, 2015

Obama pertahan TPPA, tekankan harga ubat generik akan turun

​Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mempertahankan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan menyangkal dakwaan pelajar Malaysia pada sesi "town hall" dengan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang menyifatkan ia satu perjanjian elitis.

Malah, kata Obama, dari perspektif harga ubat generik, perjanjian itu dirangka supaya ia akan memastikan keperluan untuk ubat-ubatan generik dilindungi bagi golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut faham kebimbangan masyarakat terhadap paten ubat-ubatan memandangkan industri farmaseutikal negara itu berpengaruh di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya perlu ada beberapa perlindungan untuk ubat-ubatan tertentu kerana tanpa perlindungan harta intelek, tiada siapa mahu mencipta ubat-ubatan baru.

"Perkara sama jika anda seorang penyanyi dan membuat rekod, tetapi sebaik sahaja anda merakamkan lagu itu, orang lain dengan mudah memuat turunnya tanpa bayaran, ini akan menjejaskan industri muzik.

"Jadi, kita kata, kita perlu melindungi sesetengah orang, tetapi kami amat jelas dalam bab mengenai perkara ini dengan mengatakan kita perlu melindungi ubat generik untuk mereka yang berpendapatan rendah.

"Malah, kita perlu menghapuskan tarif ke atas beberapa item seperti penisilin dan ubat-ubatan yang berada di pasaran untuk tempoh masa yang sangat lama.

"Dan dari masa ke masa, kita memang percaya kos ubat-ubatan akan turun di kebanyakan negara yang ketika  ini mempunyai banyak halangan dari segi ubat-ubatan itu," katanya.

Obama berkata beliau turut dikecam syarikat-syarikat ubatan Amerika Syarikat kerana tidak mendapatkan tawaran yang lebih baik untuk mereka.

"Saya katakan kepada mereka, sebahagian daripada tugas kami ialah untuk mempromosikan industri ubat-ubatan Amerika Syarikat tetapi sebahagian lagi tugas kami ialah menjadi rakan kongsi yang baik kepada negara-negara yang mempunyai orang sakit, kami perlu pastikan mereka mendapat akses kepada ubat-ubatan."

Katanya, adalah tidak tepat menganggap ketelusan bermakna TPPA dirundingkan dalam persekitaran yang terbuka sambil menambah, sekiranya itu dilakukan, perjanjian itu akan tidak akan dimuktamadkan.

Beliau berkata keseluruhan dokumen itu kini boleh didapati di atas talian dan tertakluk kepada kelulusan badan perundangan di 12 negara terlibat. – 20 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...