TERKINI :

Tuesday, November 24, 2015

Nasharudin Mat Isa pula tampil membela Hj Hadi menafikan pertemuan bincang UG

Pertemuan 2008 tak bincang isu gabung Pas, Umno

Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menafikan pertemuan antara pimpinan tertinggi Pas dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 membincangkan usaha Pas untuk bergabung dengan Umno melalui kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, kata beliau, pertemuan yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tersebut hanya membincangkan maslahat politik Pas dan Umno pada waktu itu,

"Setakat yang saya tahu, perbincangan adalah bagaimana untuk melihat masa depan pakatan politik antara Pas dan Umno ketika itu. Tak pergi lagi kepada peringkat bincang kerajaan perpaduan dan sebagainya.

"Tak ada bincang mengenai kerajaan perpaduan, yang kita bincang ialah bagaimana mencapai atau perbincangan yang berkaitan maslahat politik. Kerajaan perpaduan? Tiada dalam agenda," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas perasmian buku The Middle Path of Moderation in Islam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwa bahawa usaha menyatukan Pas dan Umno bermula sejak pertemuan pimpinan tertinggi Pas dan Tun Abdullah selepas PRU12 pada 2008.

Bagaimanapun, Husam mendakwa, usaha membentuk kerajaan hasil gabungan dua parti itu gagal berikutan kerusi yang diperolehi tidak mencukupi.

Mengulas lanjut, Nasharudin berkata, dakwaan Adun Salor itu sama sekali tidak benar.

"Beliau tiada dalam pertemuan tersebut. Saya pergi dalam pertemuan itu, tak ada pun kita bincang pasal kerajaan perpaduan. Kita bincang maslahat politik, itu saja," katanya.

Menurut beliau, pertemuan sebegitu juga merupakan perkara biasa dan parti tidak mempunyai apa-apa untuk disorokkan.

"Setiap kali kita bertemu, ia adalah untuk kebaikan negara, bukan untuk kepentingan individu. Apatah lagi ia telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

"Jadi pertemuan ini bagi saya bukan satu isu nak dijadikan bahan untuk mempopularkan diri, tidak. Ia adalah keputusan parti, perbincangan demi maslahat. Lagipun, pertemuan ini dah lama," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...