TERKINI :

Saturday, November 7, 2015

Mukhriz: Kalau ikut hati memang rasa 'bebai'

ALOR SETAR - Umno Kedah akan terus berusaha menjalinkan kerjasama politik dengan Pas meskipun ia enggan menerimanya.

Pengerusinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ketegasan Pas tidak mahu menjalinkan sebarang kerjasama dengan Umno adalah kenyataan yang biasa didengar.

“Kalau ikutkan hati, kita pun rasa ‘bebai’ sebab dah banyak kali kita menghulurkan tangan, tapi ia tidak disambut.

“Selagi niat kita ikhlas, tidak mengapa. Kita akan terus berusaha ke arah itu,” katanya kepada media selepas merasmikan seminar transformasi pemikiran Islam di Bangunan Tunku, di sini, hari ini.

Menurutnya, Umno Kedah sedia menerima kerjasama baik dengan Pas sebagai pelopor kepada usaha itu di peringkat pusat.

“Pembangkang di Kedah kini berpecah dua.  Kerusi Dun di hadapan terdiri dari Pas, belakang pula Pakatan Harapan. Mereka sudah terasing.

“Apabila Phahrolrazi (Adun Pangkalan Kundor- Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi) mengumumkan kepada Speaker Dun Kedah mengenai pertukaran parti Pas kepada Amanah, dia diubah ke belakang bersama PKR dan DAP,” katanya.

Mukhriz beranggapan, situasi itu adalah peluang untuk mereka mencari titik persamaan antara Umno dan Pas.

“Bukan bermaksud untuk kita bersatu buat masa ini, tetapi ada banyak perkara yang boleh kita bekerjasama.

“Mereka (Pas) pun tidak berapa menentang kita sangat dan percakapan mereka juga tidak terlalu mengkritik,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menegaskan bahawa parti itu tidak akan menjalinkan kersama politik dengan Umno, khususnya di tengah-tengah kegagalan Umno menerajui pentadbiran negeri sehingga menyerlahkan pelbagai kepincangan.

Beliau berkata, tiada alasan untuk Pas Kedah memberi oksigen kepada Umno yang sedang kelemasan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...