TERKINI :

Monday, November 30, 2015

Muhyiddin salahkan 1MDB, pemimpin Umno punca sokongan menurun

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalahkan kepimpinan parti yang menyebabkan sokongan masyarakat menurun semasa berucap pada perhimpunan anjuran Umno Bahagian Pagoh semalam.

Sokongan orang Melayu terhadap Umno jatuh kepada 30%, kerana skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menyalahkan kepimpinan parti.

Malaysiakini melaporkan timbalan presiden Umno itu sebagai berkata, menurut kajian Merdeka Centre sebelum ini 50% sokongan masyarakat terhadap parti Melayu itu.

"Namun sejak kebelakangan ini ia berkurangan kepada 30%.

"Begitu juga dengan (peratusan) orang berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang hanya pada 17% dan terdapat 78% yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini.

"Tahap sokongan kaum Cina terhadap kerajaan juga berkurangan daripada 13% pada pilihan raya umum lepas dengan hanya 5% pada masa ini.

"Ini adalah realiti yang dihadapi Umno akibat kepimpinan sekarang, kerana 1MDB. Dan jika tidak diperbetulkan, dalam tempoh 2 tahun, Umno boleh kalah, " kata Muhyiddin pada perhimpunan anjuran Umno Bahagian Pagoh semalam.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berharap pucuk pimpinan Umno tidak akan mengabaikan kajian itu, kerana ia mewakili sentimen orang ramai.

Menurut Malaysiakini Muhyiddin berkata, sokongan berkurangan tersebut membuatkan dirinya menyuarakan skandal 1MDB kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Tindakan saya untuk cuba membetulkan keadaan dan membetulkan parti.

"Anda (Najib) adalah orang yang bertanggungjawab yang mencipta masalah ini. Berapa lama saya harus berdiam diri mengenai perkara ini? "katanya seperti dilaporkan portal itu.

Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan dalam rombakan Kabinet Julai lalu kerana secara terbuka mempersoalkan cara Najib mengendalikan isu
1MDB dan mengkritik sumbangan RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Meskipun masih kekal sebagai timbalan presiden, namun Muhyiddin kehilangan platform untuk bercakap kepada ahli selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu lalu.

Tradisi perhimpunan sebelum ini, timbalan presiden Umno akan memberikan ucapan perasmian bagi perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bagaimanapun, peluang Muhyiddin untuk berucap sudah dilucutkan. – 30 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...