TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Mesyuarat MT Umno di Parlimen bagi singkir Muhyiddin?

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bakal diadakan pada Selasa ini yang bertempat di bangunan parlimen dan bukan seperti lazimnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi ibu pejabat Umno.

Ini menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam blognya hari ini Akramsyah Sanusi - anak kepada bekas Setiauasaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa mesyuarat itu dipercepatkan dari 27 November kepada 24 November.

Beliau juga melaporkan mesyuarat majlis tertinggi itu bakal tidak diadakan di tempat biasa iaitu di PWTC tetapi beralih ke bangunan parlimen.

Menurut Akramsyah, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh, sedang dengan 'senyap-senyap' menjemput ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno supaya hadir ke mesyuarat yang bermula jam 6 petang pada tarikh berkenaan.

Katanya, kedua-dua Muhyiddin dan Shafie kini di luar negara.

Semakan Malaysiakini mengesahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu hanya akan kembali pada 25 November manakala Shafie dilaporkan sedang menunaikan umrah di tanah suci Makkah.

Ketika dihubungi, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan bahawa mesyuarat akan datang bakal diadakan di bangunan Parlimen.

'Budak ini mengarut'

Bagaimanapun, beliau menafikan mengetahui mengenai agenda mesyuarat ataupun mengenai tarikh mesyuarat dipercepatkan.

"Bagaimana budak ini (anak Sanusi) tahu agenda mesyuarat itu walaupun dia bukan anggota Majlis Tertinggi.

"Saya sendiri tidak tahu Majlis Tertinggi sepatutnya bermesyuarat pada 24 November dan bukannya 27 November," katanya kepada Malaysiakini.

Mengenai dakwaan Akramsyah bahawa mesyuarat itu sengaja diadakan pada Selasa ini untuk memastikan Muhyiddin dan Shafie tidak dapat hadir, Nazri berkata ia adalah karut.

Sebaliknya, beliau berkata soalan yang lebih penting ialah mengapa kedua-dua mereka berada di luar negara apabila Dewan Rakyat sepatutnya bersidang sehingga 2 Disember

"Mengapa mereka di luar negara sedangkan mereka sebagai ahli parlimen seharusnya berada dalam negara.

"Tidak ada sebab tidak mahu mereka (Muhyiddin dan Shafie untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi)," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...