TERKINI :

Tuesday, November 17, 2015

Mengapa benarkan negara campur ‘urusan bilik tidur’?

Oleh Amin Iskandar


Apabila Tawfik Ismail anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) harus dimansuhkan, ramai yang marah-marah. Tetapi kebaikannya ialah isu ini dibincangkan semula secara terbuka di kalangan rakyat Malaysia terutamanya bagi umat Islam agar mendapat “pencerahan” dalam isu ini.

Menurut Tawfik, penubuhan Jakim tidak lebih daripada usaha kerajaan untuk campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam.

Selain itu Tawfik mengatakan Jakim menjadi punca kepada berlakunya “Arabisasi” di Malaysia sekaligus memusnahkan budaya Nusantara yang sudah berakar selama beratus tahun di negara ini.

Menjawab kritikan Tawfik terhadap Jakim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memegang portfolio agama mengatakan cadangan itu seolah-olah mahu menggembalikan Malaysia ke zaman “Jahiliyyah”.

Asyraf berkata, tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Jawapan Asyraf ini sangat lemah. Ini kerana isu Isis ini perlu diuruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

Selain itu, Putrajaya sendiri perlu disalahkan dalam isu Isis kerana membenarkan penceramah-penceramah anti Bashar Al Assad dari Syria untuk masuk ke Malaysia dan berceramah di seluruh negara satu ketika dahulu sehingga ramai yang percaya konflik di negara Timur Tengah itu perang di antara Sunni dan Syiah.

Sedangkan konflik di Syria bukanlah peperangan Sunni-Syiah dan lebih kompleks daripada apa yang difahami ramai rakyat Malaysia yang menyertai Isis.

Penguatkuasaan hanya untuk rakyat bawahan?

Kedua, Syiah itu adalah salah satu aliran Islam dan Putrajaya tidak berhak menghalang rakyat Malaysia untuk menganuti dan mempercayainya.

Isu yang lebih besar di sini ialah agama itu sendiri merupakan urusan peribadi dan rakyat tidak perlukan Putrajaya untuk campur tangan dalam kehidupan peribadi mereka.

Disebabkan Jakim dan jabatan-jabatan agama di Malaysia, ada semacam kegilaan bagi negara dan negeri untuk campur tangan dalam kehidupan peribadi dan “urusan bilik tidur” rakyat.

Kita sering terbaca di akhbar bagaimana pasangan-pasangan muda Islam “ditangkap basah” di hotel-hotel murah. Mereka diaibkan dengan gambar dimuatkan di dada-dada akhbar dan disiarkan di televisyen.

Malahan pernah dilaporkan ada yang terjatuh mati daripada hotel murah ketika cuba melarikan diri daripada serbuan pihak berkuasa agama.

Kegilaan apakah ini? Bagaimana boleh dibenarkan negara campur tangan dalam urusan bilik tidur rakyatnya?

Lebih menghairankan lagi apabila cerita-cerita rakyat Malaysia ditangkap basah ini hanya berlaku di hotel-hotel murah dan tidak pernah terdengar serbuan sama dilakukan di hotel-hotel mewah dan bertaraf 5 bintang.

Apakah ini bermakna pihak berkuasa agama hanya bertindak terhadap rakyat bawahan dan tidak kepada kelas atasan?

Sudah sampai masanya kegilaan ini dihentikan.

Sebenarnya apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini adalah lebih “jahil” kerana kita membenarkan negara campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat.

Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri yang bertanggungjawab dalam penubuhan Jakim pada zaman pemerintahannya mengatakan tiada masalah jika rakyat mahu jabatan itu dibubarkan.

Sekurang-kurangnya apabila Jakim dibubarkan, dana diperuntukkan untuk jabatan itu bolehlah disalurkan kepada hal-hal yang lebih mendesak seperti pendidikan dan kesihatan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...