TERKINI :

Wednesday, November 4, 2015

Mahkamah kekalkan perintah Utusan bayar Lim Kit Siang sebanyak RM250,000


Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mendapati akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bersalah memfitnah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan mengarahkannya membayar ganti rugi RM250,000.

Hakim Datuk Lim Yee Lan, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, hakim mahkamah tinggi yang membicarakan kes itu tidak silap dalam membuat keputusan.
Panel lain yang bersidang hari ini adalah Datuk Varghese George Varughese dan Tan Sri Idrus Harun.

"Kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Tiada kekhilafan yang boleh dirayu dalam keputusan oleh Mahkamah Tinggi," kata Hakim Lim.

Peguam yang mewakili Utusan, M Reza Hassan sebelum itu berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila hanya menumpukan pada perenggan tertentu dalam artikel itu apabila memutuskan artikel itu adalah memfitnah.

Beliau berkata artikel itu perlu dilihat secara keseluruhan dan mahkamah tidak boleh hanya melihat kepada perenggan tertentu dalam artikel itu.

Selepas mendengar hujahan Reza, Hakim Lim berkata mahkamah tidak perlu mendengar hujahan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim.

Hakim Lim juga hari ini mengarahkan Utusan membayar kos RM15,000 kepada ahli parlimen Gelang Patah itu.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur memerintahkan Utusan membayar ganti rugi RM250,000 kepada Lim Kit Siang kerana didapati bersalah memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan pelantikan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Lim memfailkan saman itu dengan mendakwa akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Kit Siang manipulasi CEC?' mengandungi perkataan berunsur fitnah.

Dalam pernyataan pembelaannya, Utusan menafikan memfitnah Lim dan mendakwa ia telah menjalankan amalan munasabah untuk mendapatkan dan mengesahkan maklumat yang terkandung di dalam artikel itu.

Reza memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnnya sama ada akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...