TERKINI :

Monday, November 16, 2015

Mahkamah: Harakah, ADUN PAS tak fitnah bekas MB

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa akhbar rasmi PAS Harakah dan ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tidak memfitnah bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berhubung laporan skandal pakaian seragam sekolah.

Dalam menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong memutuskan bahawa perayu Ahmad gagal menimbulkan persoalan undang-undang.

"Dengan ini, permohonan untuk kebenaran (untuk merayu) ditolak," kata Hakim Abdull Hamid.

Mahkamah juga mengarahkan Ahmad membayar kos RM10,000 kepada Syed Azman dan dua yang lain, termasuk Harakah.

Syed Azman dan Harakah diwakili oleh peguam Sharifah Nur Asmaa’ Syed Azman dan Nadzratun Naim Hammad Azizi dari Tetuan Mohamed Hanipa and Associates. Ahmad diwakili peguam Zammani Ibrahim, Rosli Khady dan Helmi Hamzah.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Azman dan Harakah membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ahmad berikutan penerbitan artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?’ yang diterbitkan dalam Harakah pada 11-13 November 2011.

Walau bagaimanapun, pada 3 Julai tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan mendapati bahawa defendan boleh bergantung kepada pembelaan perlindungan bersyarat.

Ia kemudiannya memerintahkan Ahmad membayar sejumlah RM15,000 sebagai kos.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...