TERKINI :

Tuesday, November 24, 2015

'Low Yat 2' dibuka 8 Disember ini

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR - 'Low Yat 2', pusat jualan dan borong alat telekomunikasi seumpama Plaza Low Yat di Bukit Bintang, akan dibuka secara rasmi pada 8 Disember ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sempena pembukaannya di Tingkat 3, Menara Mara di sini, nama baharu dan logo pusat jualan dan borong alat telekomunikasi itu akan diumumkan.

"Sebanyak 36 premis menjual alat telekomunikasi yang dimiliki seratus peratus syarikat bumiputera telah disenarai pendek untuk memulakan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2015 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pusat itu yang juga akan menjual produk teknologi maklumat (IT) secara terbuka dan bebas, diharap akan menjadi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan kemudahan peralatan komunikasi.

Menurut Ismail Sabri, andainya projek perintis pusat jualan peralatan komunikasi itu berjaya dan mendapat sambutan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengembangkan konsep berkenaan ke seluruh negara.

Mara akan menaik taraf kesemua arked Mara serta melakukan penjenamaan semula untuk membuka peluang perniagaan serta membantu masyarakat luar bandar memajukan perniagaan mereka, katanya. - Bernama


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...