TERKINI :

Monday, November 23, 2015

Lebih 10 kawasan Kuala Muda dilanda banjir kilat

Banjir

SUNGAI PETANI - Lebih 10 kawasan di sekitar daerah Kuala Muda di sini, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat kira-kira 3 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Lt Muda (PA) Azahar Ahmad berkata antara kawasan terjejas ialah Hospital Sultan Abdul Halim, Taman Nuri, Taman Serindik, Air Mendidih dan Jalan Batu Lintang Kampung Hutan Gelam.

Selain itu, Taman Berlian, Taman Teratai Sungai Layar, Taman Desa Jaya, Jalan Kampung Raja, Kampung Raja, Kampung Haji Wahab dan Kampung Batu 2 Ward Siam.

"Banjir kilat berlaku kira-kira 3.20 petang dengan kedalaman air antara 0.5 dan 1 meter. Bagaimanapun air mulai surut dan tiada pusat pemindahan dibuka kerana mangsa enggan berpindah," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Azahar berkata sehingga 6.30 petang, masih lagi hujan renyai-renyai.

Banjir kilat itu, katanya dipercayai berpunca daripada limpahan air hujan yang menyebabkan kegagalan sistem perparitan di beberapa lokasi. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...