TERKINI :

Thursday, November 26, 2015

Kulim - 25 tahun penduduk terpaksa guna jalan rosak

25 tahun penduduk terpaksa guna jalan rosak

KULIM - Kerosakan jalan utama Kampung Ulu Dingin Mahang, di sini, membahayakan penduduk kampung berkenaan terutamanya penunggang motosikal.

Penduduk, Azman Che Hamid 43, berkata, jalan sepanjang lima kilometer itu kini sudah rosak teruk menyebabkan penduduk perlu berhati-hati setiap kali melaluinya.

Menurutnya, jalan berkenaan sudah 25 tahun tidak baik pulih dan kini kerosakannya semakin teruk malah membahayakan penduduk yang sering menggunakan laluan itu untuk ke pekan Mahang.

“Saya difahamkan hampir 25 tahun jalan itu berlopak malah sekarang sudah rosak teruk dan perlu dibaik pulih segera.

“Saya minta kerajaan dan pihak terlibat dapat menyalurkan peruntukan untuk pembinaan jalan yang selesa untuk penduduk di sini,” katanya.

Azman berkata, keadaan jalan itu turut mengundang risiko kepada pelajar sekolah yang menggunakannya untuk ke sekolah berhampiran.

Jelasnya, ini kerana laluan berkenaan tidak rata dan tidak mempunyai lampu jalan.

“Sebelum ini pernah berlaku dua kejadian seorang penduduk mengalami sakit tenat, ambulans pula lambat sampai sebab tidak boleh dipandu dengan laju apabila melalui laluan itu kerana keadaannya yang tak rata serta berlubang-lubang. Mangsa tak dapat diselamatkan.

“Malah ada yang pernah dipatuk ular berbisa ketika melalui jalan itu memandangkan kawasan tersebut gelap," katanya.

Manakala, penduduk, Che Hamid Che Long, 64, berkata, dia pernah mengeluarkan wang sendiri untuk membaik pulih jalan berkenaan dengan menutup lubang menggunakan batu.

“Kini, penduduk di sini terpaksa mengumpul duit untuk membaiki lanan itu sendiri, memandangkan keadaannya yang semakin teruk,” katanya.

Sementara itu, pengguna jalan berkenaan, Muhamad Faris Muhamad Indra, 25, berkata, selain jalan berlubang, malah struktur jambatan yang terdapat di laluan itu turut retak.

“Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya selesaikan segera masalah ini demi keselesaan penduduk di sini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...