TERKINI :

Monday, November 16, 2015

Kisah dongeng tentang ‘Government Shutdown’

Oleh Ahmad Anwar Asyraf

http://www.roketkini.com/wp-content/uploads/2015/11/BAJET-2016-e1445848304529-650x400.jpg
PANDANGAN kononnya undi tidak percaya atau penolakan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hanya menyusahkan rakyat, adalah kisah dongeng yang bertebaran kebelakangan ini.

Timbul juga kisah dongeng lain, kononnya ia akan mengakibatkan ‘Government Shutdown’ sehingga boleh mengganggu urusan harian rakyat termasuk gaji penjawat awam tidak boleh dibayar.

Dongeng seterusnya, jika Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 ditolak, kononnya bermaksud menolak atau membantah kenaikan gaji penjawat awam dan pencen pesara kerajaan, bonus, kenaikan had gaji minimum dan beberapa lagi manfaat dalam bajet itu.

Secara peribadi terkejut dengan kisah dongeng itu. Lebih terkejut apabila ia dilontar oleh seorang timbalan presiden sebuah parti politik yang memerintah sebuah negeri selama lebih 20 tahun.

Mengapa terkejut? Pastilah, kerana seorang timbalan presiden sebuah parti politik tidak memahami proses perjalanan demokrasi berparlimen sehingga melontar pandangan yang mengelirukan rakyat.

Sedangkan, dalam Demokrasi Berparlimen ala Sistem Westminster, jika Dewan Rakyat hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri sama ada melalui undi tidak percaya ataupun gagal meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan, beliau perlu sama ada meletak jawatan atau memohon kepada Yang Di-pertuan Agong untuk dibubar Parlimen.

Jika Yang Di-pertuan Agong menolak pembubaran Parlimen, Kabinet harus meletak jawatan dan Yang Di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri baharu.

Andai situasi itu berlaku dan Najib memilih meletak jawatan, Kabinet baharu perlu mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 sekali lagi.

Jika berlaku pilihan raya umum ekoran Bajet 2016 ditolak, timbalan presiden itu patut belajar daripada bekas ketua penerangan partinya yang mengulas mengenai situasi Rang Undang-Undang Perbekalan 2000.

Justeru, menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bukan bererti hari kiamat bagi Malaysia.

Ia tidak akan mengakibatkan ‘Government Shutdown’.

Penjawat awam tidak perlu dicutikan atau tidak dibayar gaji. Ia tidak juga bermaksud menolak manfaat kepada rakyat yang disediakan di dalam dokumen itu.

Menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bererti memberi sedikit nafas baru kepada Malaysia. Jikalau Najib memilih untuk tidak meletak jawatan sekalipun, Yang Di-Pertuan Agong harus bubarkan Parlimen.

Mandat akan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan pemerintah selepas itu.

Menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 adalah jalan yang boleh diambil memandangkan kebarangkalian yang sangat tipis untuk usul undi tidak percaya dibahas dan pengundian dibuat.

Usul undi tidak percaya tidak mungkin dapat mengatasi Urusan Mesyuarat Kerajaan dalam keadaan Parlimen yang bias dan tidak mempunyai peraturan spesifik untuk memastikan usul sedemikian dibahas.

Bagaimana timbalan presiden dan partinya boleh memilih untuk menyokong undi tidak percaya dalam keadaan yang mustahil ia boleh dilakukan tetapi bukan menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016?

Oh terlupa, timbalan presiden dan seluruh jemaah tartinya sekarang sedang bersiap-siap untuk menjadi penasihat kepada Barisan Nasional (BN).

Mungkin antara tugasan penasihat ‘Kassim Patalon’ itu ialah untuk menjadi agen memperbodoh rakyat hingga terlupa tanggungjawab moral untuk memberi pencerahan politik kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Persoalannya, adakah timbalan presiden itu lebih senang untuk memilih membiarkan rakyat menanggung kesengsaraan akibat pemerintahan yang lemah dan tidak diurus tadbir dengan baik ketika ini? http://www.roketkini.com

* Ahmad Anwar Asyraf ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...