TERKINI :

Wednesday, November 18, 2015

Khairuddin, Mathias tiada kesalahan keselamatan, bebas diikat jamin

http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/KHAIRUDDIN_ABU_HASSAN_MATTHIAS_CHANG_COURT_121015_TMINAJJUA_04.jpg
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan pertuduhan yang dihadapi bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang kerana mensabotaj ekonomi Malaysia, bukan satu kesalahan keselamatan.

"Oleh itu, prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak boleh digunakan ke atas mereka," kata Hakim Datuk Mohd Azman Husin dalam membenarkan permohonan mereka berdua.

Beliau membebaskan mereka dengan ikat jamin RM10,000 dan juga mengarahkan perbicaraan bermula di Mahkamah Sesyen.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut hadir di mahkamah pagi ini bagi memberi sokongan kepada bekas setiausaha politiknya dan Khairuddin berkata, sejak awal beliau menegaskan kesalahan itu tidak timbul dan penggunaan Sosma tidak betul.

"Saya sangat gembira kerana saya memang fikir tidak ada kes. Saya selalu fikir tidak ada kes di bawah undang-undang (Sosma) itu. Keadilan kini terlaksana," katanya kepada pemberita.

Dr Mahathir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid adalah antara mereka yang turut hadir di mahkamah itu yang penuh sesak hari ini.

Hakim Azman berkata, Parlimen tidak pernah berhasrat menjadikan pertuduhan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan sebagai satu kesalahan keselamatan.

Pertuduhan di bawah seksyen ini boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

"Mereka tidak boleh dinafikan hak ikat jamin dan prosedur Sosma tidak boleh digunakan dalam perbicaraan mereka," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Azman menetapkan perkara tersebut untuk pengurusan kes pada 12 Januari. Khairuddin berada di bawah tahanan sejak 8 September manakala Chang, sejak 8 Oktober.

Chang ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, ketika beliau ke sana untuk melawat Khairuddin yang ditahan di bawah Sosma.

Undang-undang anti keganasan itu membolehkan suspek ditahan sehingga 28 hari selepas ditangkap.

Pada 12 Oktober, Khairuddin dan Chang didakwa atas cubaan mensabotaj ekonomi Malaysia dan sistem kewangan dan perbankan negara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Perancis, United Kingdom, Switzerland, Hong Kong dan Singapura, antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini iaitu tempat di mana Khairuddin membuat laporan terhadap firma pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB). – 18 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mahkamah-putuskan-khairuddin-mathias-tiada-kesalahan-keselamatan-bebas-diik#sthash.y2dpJqpv.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...